Perkembangan jangkitan COVID-19 bagi tiga negara

INDONESIA, MALAYSIA, SINGAPURA, 20 SEPT – Indonesia mencatatkan 3,989 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes keseluruhan di republik itu berjumlah 244,676 kes.

Berdasarkan data yang dimuat naik di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 107,370 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus berkenaan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 105 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat COVID-19 di republik itu mencecah 9,553 orang.

Sementara itu, jumlah kes baharu positif COVID-19 di Malaysia dalam tempoh 24 jam lepas kekal dua angka, namun meningkat kepada 52, dengan 36 daripadanya di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 10,219 kes dengan angka kematian kekal 130, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 734.

Manakala itu, Singapura telah mengesahkan sejumlah 18 kes tambahan bagi jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan empat daripadanya kes import.

Menerusi data ringkas yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata kesemua kes import telah diletakkan di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus tiba di Singapura.

Sementara itu, berdasarkan siasatannya setakat ini, MOH berkata terdapat satu kes dalam komuniti yang membabitkan pemegang pas kerja.

Susulan perkembangan terkini itu, jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di republik tersebut ialah 57,576 kes. – Bernama