Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Lebih 300 orang pelajar Tahun Satu dari pelbagai jurusan akademik di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini, telah menghadiri kuliah Melayu Islam Beraja yang mengetengahkan ‘Perkembangan Terkini Pasca COVID-19 bagi Ekonomi Negara Brunei Darussalam’.
Semasa kuliah itu, Pemangku Pengarah Perancangan di Jabatan Perancangan di bawah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayangku Norhanidah binti Pengiran Haji Masshor menjelaskan bahawa sejak peralihan ke Fasa Endemik yang bermula pada 1 Jun 2022, beberapa sektor ekonomi Brunei yang terjejas teruk akibat pandemik COVID seperti sektor pengangkutan udara telah mula menunjukkan pemulihan yang ketara dengan peningkatan lebih 100 peratus bagi sembilan bulan pertama 2022 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ini adalah selaras dengan peningkatan bilangan ketibaan dan pelepasan penumpang udara berikutan sekatan perjalanan udara yang telah ditiadakan, tekan Dayangku Norhanidah.
Sesi itu turut menerangkan mengenai peningkatan permintaan dalam negara yang merupakan salah satu faktor utama pemulihan bagi beberapa sektor ekonomi negara.
Dalam perkara ini, apa yang ditekankan adalah kepentingan sesebuah perniagaan mahupun sektor ekonomi untuk tidak hanya bergantung kepada permintaan domestik tetapi juga bagi menerokai peluang-peluang baharu yang berorientasikan eksport tidak terhad kepada eksport barangan tetapi termasuk juga perkhidmatan.
Sebagai langkah ke hadapan ke arah mencapai Matlamat 3 Wawasan Brunei 2035 iaitu Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan, sesi kuliah juga telah mengongsikan mengenai rangka kerja ekonomi Negara Brunei Darussalam yang mana di bawahnya mengandungi Pelan Tindakan Ekonomi yang digunakan sebagai prinsip-prinsip panduan bagi pelbagai agensi dan individu.
Dalam perkara itu, turut dikongsikan adalah inisiatif-inisiatif pihak kerajaan dan swasta dalam menjana kemampanan ekonomi negara.
Sesi kuliah tersebut diakhiri dengan menyarankan para pelajar untuk terus berusaha dalam pembelajaran dan seterusnya ke arah menjadi aset penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara pada masa hadapan.


