Oleh Prof Madya Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail, Prof Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dr Rozaiman bin Makmun, Dr Nani Suryani binti Haji Abu Bakar, Pg Dr Hajah Siti Norainna binti Pg Haji Besar, Dr Hajah Suraya binti Haji Tarasat, Dr Siti Noor Naasirah binti S.Abdullah Teo, Hajah Suziyati binti Mohamad Ali
SIRI 2
SEBELUM kewujudan Dasar Pendidikan 1954, pendidikan Brunei dalam berbagai aliran memang mengalami perkembangan yang menggalakkan. Bagaimanapun apabila Perang Dunia Kedua tercetus, tentera Jepun menduduki Brunei. Pendudukan yang bermula pada tahun 1941 mengakibatkan prasarana pendidikan di negara ini musnah. Setelah tentera Jepun kalah oleh tentera bersekutu pada bulan Jun 1945, maka Negara Brunei Darussalam telah diletakkan di bawah pentadbiran tentera British (British Military Administration – BMA), yang mana peranan utama BMA memulihkan keamanan.
Setelah keamanan dicapai, maka pada 6 Julai 1946 pentadbiran awam di bawah Residen British dikembalikan semula. Pentadbiran ini menghadapi cabaran meneruskan kerja-kerja pemulihan dan mempercepatkan pembangunan sosioekonomi Brunei termasuklah dalam sektor pendidikan.
Pendudukan Jepun selama lebih tiga tahun telah mengakibatkan sebahagian besar infrastruktur termasuk bangunan-bangunan sekolah telah rosak. Ia mengalami kemusnahan sama ada ia terbiar atau terkena bom tentera bersekutu semasa operasi menyerang tentera Jepun. Brunei tidak menghadapi cabaran besar untuk memulihkan pembangunannya selepas perang kerana ia mempunyai simpanan kewangan yang banyak di London. Jadi cabaran dalam hal ini tidak begitu membebankan.
Dengan yang demikian pada akhir tahun 1946, hampir semua sekolah Melayu, Cina dan Misi telah beroperasi semula. Bagaimanapun, Sekolah Arab yang ditubuhkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950) sebelum perang tercetus telah tidak lagi dibuka kerana gurunya telah meninggalkan Brunei.

Meskipun sekolah-sekolah Melayu telah dibuka semula tetapi ia berhadapan dengan masalah kehadiran pelajar-pelajar yang masih berkurangan,di mana menjadi satu cabaran pada ketika itu. Antara faktor yang menyumbang berlakunya gejala ini adalah seperti kekurangan pakaian, makanan dan peralatan sekolah. Bagi mengatasi cabaran makanan, kerajaan memperkenalkan skim permakanan di sekolah-sekolah Melayu yang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Pelajaran.
Skim ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan taraf kesihatan pelajar-pelajar yang telah terjejas kesan daripada pendudukan Jepun, tetapi juga bagi membantu ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan untuk menyediakan wang saku bagi pelajar-pelajar membeli makanan mereka semasa di sekolah.
Pada akhir tahun 1947, keramaian pelajar yang memasuki alam persekolahan telah melebihi jumlah pelajar sebelum perang. Ini menunjukkan satu perkembangan yang baik terhadap sistem pendidikan Brunei. Sungguhpun demikian, masih terdapat sebilangan besar kanak-kanak terutama di kalangan anak-anak perempuan yang tidak bersekolah pada ketika itu. Banci penduduk yang dilakukan pada tahun itu menunjukkan kanak-kanak Melayu termasuk kaum-kaum asli yang berumur dalam lingkungan lima ke 14 tahun adalah seramai 7,778 orang.
Daripada jumlah itu, cuma 1,892 orang atau 24 peratus sahaja termasuk 334 orang pelajar perempuan yang bersekolah di sekolah-sekolah Melayu, yang pada masa itu sudah mencapai jumlahnya 24 buah di seluruh negeri. Sikap negatif para ibu bapa terhadap pendidikan formal merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada munculnya masalah ini.
Ada di antara mereka tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana diperlukan untuk membantu pekerjaan sebagai nelayan atau petani. Manakala itu anak-anak perempuan diperlukan untuk membantu kerja-kerja rumah tangga. Malahan ada di antara mereka dikahwinkan dalam usia muda.
Masalah kehadiran ini juga berlaku di kalangan pelajar-pelajar di Kampong Ayer. Bagi mengatasinya kerajaan telah membina sebuah sekolah di tengah-tengah kampung ini yang terletak di antara Kampung Lorong Sikuna dengan Kampung Saba pada tahun 1953. Sekolah pertama di kawasan ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Lela Menchanai (SMLM), iaitu sempena legenda seorang puteri di zaman pemerintahan Sultan Bolkiah (1485 -1524), mempunyai seramai 170 orang pelajar.
Sekolah ini boleh dikatakan berjasa besar bukan sahaja memberikan kemudahan dalam menyediakan pendidikan formal tetapi juga dalam membangkitkan kesedaran di kalangan ibu bapa tentang pentingnya memberikan pendidikan umum atau akademik kepada anak-anak di Kampong Ayer. Pelajar-pelajar yang berjaya dari sekolah ini sama ada menjadi guru atau melanjutkan pelajaran ke seberang laut, yang telah menjadi daya pendorong untuk kanak-kanak lain memasuki alam persekolahan, sekali gus jumlah kehadiran meningkat.
Selain itu kerajaan juga berhadapan dengan cabaran menyediakan pendidikan Inggeris. Rancangan penghantaran pelajar-pelajar Brunei ke sekolah Inggeris Labuan yang sudah bermula pada tahun 1929 telah dihentikan kerana sekolah ini telah rosak teruk akibat peperangan.
Kepentingan pendidikan
Oleh kerana memikirkan pendidikan ini penting bagi masa depan pelajar-pelajar Brunei, bukan sahaja dari segi kerjaya tetapi juga dalam meningkatkan pencapaian pendidikan, maka masyarakat Melayu telah menyuarakan hasrat mereka agar kerajaan menubuhkan sebuah sekolahnya sendiri tanpa terlalu bergantung kepada sekolah Inggeris swasta.
Tambahan lagi majoriti masyarakat Melayu tidak mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Misi yang ditubuhkan sejak tahun 1931. Mereka bimbang pemikiran anak-anak mereka akan dipengaruhi agama Kristian kerana sekolah ini dikendalikan oleh badan agama ini.
Lagipun sekolah ini bukan seperti sekolah kerajaan sebagai sekolah percuma. Sekolah ini mengenakan bayaran kepada setiap pelajarnya. Lantaran itu hanya segelintir ibu bapa, terutama yang berkemampuan dari segi kewangan dan mempunyai kesedaran pentingnya pendidikan Inggeris, yang bersedia menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Misi pada ketika itu. Pada tahun 1951, daripada 863 orang pelajar yang berdaftar di sekolah-sekolah Misi terdapat seramai 168 orang pelajar di kalangan anak-anak Melayu.
Sungguhpun kemasukan anak-anak Melayu ke sekolah-sekolah Misi dalam kadar yang sedikit, namun senario ini masih menimbulkan rasa fobia dan ragu di kalangan masyarakat Melayu. Mereka bimbang nanti pada akhirnya kemasukan anak-anak Melayu ke sekolah ini akan semakin ramai lantaran sekolah ini hanya satu-satunya yang menyediakan pendidikan Inggeris di Brunei.
Lagipun masyarakat di negara ini termasuk masyarakat Melayu dari semasa ke semasa semakin menyedari kepentingan pendidikan Inggeris kepada anak-anak mereka, dalam melanjutkan pelajaran dan mendapat pekerjaan yang lebih baik. Fenomena ini cukup membimbangkan masyarakat Islam Brunei terhadap pengaruh agama Kristian yang boleh disebarkan menerusi bangku sekolah.
Bagi mengelakkan perkara ini daripada berlaku salah seorang pembesar Brunei, Pengiran Digadong Pengiran Anak Haji Mohamad Salleh bin Pengiran Anak Haji Mohammad, berjawatan Kadi Besar dan juga salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Negeri, telah beberapa kali membangkitkan isu kemasukan anak-anak Melayu ke sekolah Misi semasa majlis bersidang.
Beliau tidak hanya menyuarakan rasa bimbang tetapi menyarankan jalan penyelesaian terhadap isu ini iaitu mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan sebuah sekolah Inggerisnya sendiri. Dengan itu boleh memberi peluang lebih ramai anak-anak Melayu untuk mengikuti pendidikan Inggeris tanpa bergantung kepada sekolah Misi.
Akhirnya pandangan ini diterima oleh pihak kerajaan apabila sebuah sekolah Inggeris kerajaan ditubuhkan di Bandar Brunei pada bulan Oktober 1951. Sekolah ini dinamakan sebagai Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (MSOAS) iaitu sempena nama Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (1950-1967) yang telah memainkan peranan penting ke arah penubuhan sekolah ini.
Pengambilan pertama pelajar sekolah ini terdiri daripada enam orang lelaki dan tiga orang perempuan yang terpilih dari sekolah Melayu Bandar Brunei. Pada tahun 1952, sebuah lagi sekolah Inggeris kerajaan dibuka di Seria, Daerah Belait dengan keramaian 17 orang pelajar lelaki dan tujuh orang perempuan. Sekolah yang kemudiannya dikenali sebagai Maktab Anthony Abell ini telah memberikan peluang lebih ramai anak-anak di Daerah Belait untuk mengikuti pendidikan Inggeris.
Dalam pada itu, sekolah-sekolah Inggeris swasta yang ditubuhkan oleh Syarikat Petroleum Malaya British (British Malayan Petroleum Company atau BMPC) dan Misi Roman Katholik serta sekolah Cina juga berkembang pesat selepas perang. Sekolah Inggeris Kuala Belait milik BMPC sebelum perang telah diambilalih oleh Misi Roman Katholik kerana masalah mendapatkan guru.
Dengan itu, terdapat tiga buah sekolah Inggeris swasta seluruh negeri di bawah pengendalian Badan Kristian, iaitu masing-masing sebuah di Bandar Brunei, Seria dan Kuala Belait. Selain itu, BMPC pula mendirikan sebuah sekolah khusus untuk mengajar anak-anak pegawainya dari Eropah yang dikenali sebagai Senior Staff School, di Seria.
Semua sekolah swasta milik Roman Katholik didaftarkan di bawah Undang-undang Pendaftaran Sekolah 1939 dan menerima sedikit bantuan kewangan dalam bentuk grants-in-aid daripada pihak kerajaan. Bagi dua buah sekolah Misi yang terletak di Kuala Belait dan Seria juga menerima bantuan kewangan daripada BMPC kerana sebilangan besar anak-anak kakitangan syarikat ini, khusus kakitangan yang berasal dari kawasan Asia, menuntut di sekolah-sekolah ini. Pada tahun 1948 terdapat seramai 471 orang pelajar termasuk 165 orang perempuan di ketiga-tiga buah sekolah Misi Roman Katholik itu.
Sekolah ini terus mendapat sambutan seiring dengan perkembangan industri dan pembangunan Brunei yang mengimpot ramai kakitangan British dan Barat baik dalam sektor swasta mahupun sektor kerajaan. Hal ini jelas terlihat iaitu menjelang tahun 1951 keramaian sekolah misi tersebut telah bertambah kepada 863 orang iaitu 556 orang lelaki dan 287 orang perempuan.
Sementara itu, terdapat lima buah sekolah Cina di Brunei sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1947 masyarakat Cina di Labi membuka semula sekolah Cina yang telah didirikan pada tahun 1926 tetapi telah ditutup dua tahun kemudian kerana ketiadaan pelajar. Ini diikuti dengan pembinaan sebuah sekolah Cina di Pekan Bangar Temburong pada tahun 1950 dan sebuah lagi di Kiudang pada tahun 1952. Hal ini bermakna sehingga tahun ini sudah terdapat tujuh buah sekolah Cina kesemuanya di seluruh negeri dengan keramaian pelajarnya 1,530 orang termasuk 598 orang perempuan.
Sejak tahun 1939 semua sekolah Cina diwajibkan untuk didaftarkan di bawah undang-undang khas sama seperti sekolah Misi. Bagaimanapun pada tahun 1957, satu undang-undang baru mengawal sekolah-sekolah swasta termasuk sekolah Cina telah digubal dan dilaksanakan.
Kemunculan undang-undang baru ini ada kemungkinan mempunyai hubungan langkah kerajaan yang cuba menyekat perkembangan pengaruh dan kegiatan komunis di Asia Tenggara yang dipelopori oleh Republik Rakyat China.
Perkembangan ini membimbingkan kerajaan kerana ditakuti pengaruh komunis akan menyusup masuk melalui sekolah Cina. Pengaruh komunis mudah diterima oleh masyarakat Cina seperti mana berlaku di Semenanjung Tanah Melayu tetapi bagi masyarakat Cina di Brunei, mereka menafikan sekolah Cina sebagai wadah menyebarkan pengaruh komunis. Namun kerajaan masih merasa ragu dengan penafian ini.
Hal ini jelas apabila kerajaan bersetuju menambah bantuan kepada sekolah Cina, namun dalam masa yang sama memperketatkan beberapa peraturan yang mesti dipatuhi. Menurut undang-undang ini, kerajaan bersedia membantu sekolah ini hingga 50 peratus bagi membiayai gaji guru dan pentadbiran. Manakala itu 50 peratus lagi untuk dana pembangunan. Bagaimanapun, sebagai imbalan daripada bantuan ini semua sekolah Cina dikehendaki mematuhi undang-undang yang yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Di antaranya, mereka mesti menyerahkan senarai nama-nama ahli-ahli lembaga pengurus dan guru-guru sekolah ini kepada pihak kerajaan. Selain itu pihak kerajaan mempunyai hak untuk melantik 50 peratus daripada ahli lembaga pengurus sekolah ini.
Bagi memastikan undang-undang ini dipatuhi, seorang nazir khas dilantik bagi menjalankan tugas pemantauan dan pemeriksaan ke atas sekolah-sekolah Cina. Bagaimanapun mulai pada 1 Januari 1970 semua bantuan kerajaan kepada sekolah Cina telah ditiadakan kerana sekolah-sekolah ini sudah dianggap mempunyai keupayaan dari segi kewangan.
Bersambung minggu depan…