Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkembangan, pengalaman dan cabaran ABDB setelah 56 tahun

    Oleh Haniq Raffael

     

    AMANAH yang dipikul oleh warga Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) memerlukan komitmen amat tinggi mengadun kepakaran ilmu ketenteraan dan akademik.

    Peranan utama ABDB adalah untuk memastikan bahawa dalam apa juga situasi sempadan negara sama ada daratan, lautan atau udara tidak di ceroboh oleh angkatan luar.

    Tidak dapat dinafikan bahawa keamanan, kedamaian dan keselamatan yang kita nikmati di bumi Brunei Darussalam ini adalah hasil daripada usaha dan perjuangan serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pejuang yang terdahulu.

    Sebagai memperingati jasa dan bakti mereka itu, Negara Brunei Darussalam mengadakan Sambutan Hari Ulang tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada setiap 31 Mei. Pengorbanan dan kesetiaan mereka diharap akan dapat memberi semangat dan kesedaran di hati kita di samping menyemai semangat perjuangan dalam diri kita dan generasi akan datang.

    ABDB telah melalui pelbagai pengalaman dan perkembangan sejak penubuhannya pada tahun 1961. Pada tahun ini genaplah 56 tahun usia Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, maka semestinya sambutan tersebut diisi dengan nilai-nilai murni dan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan terutama dalam menghayati dan memahami erti keamanan dan kesejahteraan, sesuai dengan kehendak ajaran Islam.

    Upacara nostalgia semasa Ulang tahun AMDB (kini ABDB).
    Upacara nostalgia semasa Ulang tahun AMDB (kini ABDB).

    ABDB berperanan besar di dalam menjaga dan memastikan keamanan negara.
    ABDB berperanan besar di dalam menjaga dan memastikan keamanan negara.

    Sesungguhnya nikmat keamanan negara yang kita kecapi hari ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai apatah lagi ia merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan tanah air yang sanggup mempertarungkan jiwa raga demi melihat keamanan di bumi tercinta ini.

    Demi mencapai pertahanan yang jitu, latihan ketenteraan diadunkan bersama ilmu akademik.

    Bilangan keanggotaan yang ramai dan peralatan terkini sahaja tidak mencukupi jika ABDB tidak terus melibatkan diri dalam pelbagai siri latihan sama ada di peringkat dalam negara mahupun luar negara.

    Latihan berterusan dalam bentuk latihan kumpulan mahupun individu akan berupaya memastikan setiap anggota tentera sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Melalui latihan berterusan itu juga, kemahiran dan keupayaan setiap anggota dapat dipertingkatkan semaksimum mungkin.

    Dalam usia 56 tahun, banyak perkembangan telah dicapai oleh ABDB, antaranya penubuhan akademi tentera dan institusi pengajian pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta kerja-kerja peningkatan kepada institut latihan.

    Penubuhan institut ini akan dapat memperluaskan lagi perspektif dan visi para anggota tentera dan sebagai wadah pembelajaran sepanjang hayat bagi mendapatkan pelbagai kemahiran.

    Bagi memantapkan lagi ketenteraan di negara ini
    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan juga telah menubuhkan Akademi Pertahanan bertapak di Perkhemahan Sungai Akar secara sementara dan kini telah berpindah ke Sekolah Pegawai Kadet yang baharu di Kampung Tanah Jambu yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 28 April 2016 yang lebih dikenali dengan Akademi Pertahanan ABDB.

    Matlamat utama akademi ini ialah sebagai satu ‘centre of excellence’ yang cemerlang dan dikenali serta mampu untuk melahirkan pemimpin-pemimpin tentera yang berwibawa dan berkaliber tinggi, di mana di penempatan yang baharu ini latihan dan pembelajaran akan dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih kondusif dan moden di samping untuk melahirkan pemimpin-pemimpin bertanggungjawab yang besar dan siap sedia untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih mencabar pada masa akan datang iaitu menepati misi dan tujuan Akademi Pertahanan.

    Selain itu, ketaatan adalah merupakan kunci kejayaan dan kemenangan sesebuah misi dalam ketenteraan, lebih-lebih lagi ketika menghadapi peperangan.

    Anggota tentera yang menjalankan tugasnya dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjung dan hormati kerana jasa mereka itulah negara kita selamat daripada ancaman musuh.

    Mereka tidak akan menjalankan tugas dengan sambil lewa kerana mereka tahu akibat kelalaian boleh membahayakan keselamatan rakyat dan membuka peluang kepada pihak musuh untuk menceroboh negara.

    Tugas sebagai tentera adalah tugas yang sangat murni lagi mulia, ia bukan tugas yang mudah tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Anggota tentera yang menjalankan tugas dengan amanah dan penuh dedikasi sangatlah kita sanjung dan hormati.

    Ini kerana jasa mereka itulah negara kita selamat daripada ancaman musuh. Mereka tidak menjalankan tugas dengan sambil lewa kerana mereka tahu akan akibat dari kelalaian boleh membahayakan keselamatan rakyat dan membuka peluang kepada pihak musuh untuk menceroboh negara.

    Dengan disiplin yang mantap dan tabah menghadapi cabaran akan menaikkan martabat anggota tentera kepada kedudukan yang selayaknya. Buktikan pada masyarakat bahawa anggota tentera merupakan nadi dalam mempertahankan maruah sesebuah negara, bangsa dan watan daripada anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan serta mampu menjadi perangsang kepada generasi muda untuk menceburi kerjaya yang penuh cabaran dan sentiasa relevan setiap masa.

    Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata tahun ini bertemakan ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’ warga ABDB diharapkan agar dapat meningkatkan lagi kekuatan jati diri dengan memfokuskan kekuatan fizikal, mental dan spiritual, fizikal atau jasmani, iaitu tubuh badan yang sentiasa kuat dan sihat dapat dicapai dengan adanya latihan yang profesional dan bijak merancang strategi peperangan.

    Perkembangan

    Pada usia 56 tahun ABDB telah memperlihatkan beberapa perkembangan yang dicapai antaranya dengan pertambahan unit-unit besar dalam ABDB seperti Angkatan Tentera Darat, Angkatan Tentera Laut, Angkatan Tentera Udara, Pusat Latihan, Jabatan Agama ABDB, Akademi Tentera dan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Tambahan lagi, untuk menjadi pelengkap matlamat ABDB, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan penubuhan beberapa institusi termasuk Jabatan Perkembangan Keupayaan Tentera, Pusat Penyelidik dan Perkembangan Sains dan Teknologi dan Akademi Pertahanan.

    Selain berkhidmat dalam negara, ABDB juga terlibat dalam misi-misi pengamanan luar negara seperti penyertaan dalam Misi IMT di Filipina dan UNIFIL di Lubnan.

    Selain itu, penglibatan dalam operasi-operasi luar negara, khasnya yang di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu perlu diteruskan, kerana ianya memberikan manfaat yang cukup besar, bukan saja bagi anggota yang terlibat dan ABDB sendiri, malahan juga bagi negara di bidang diplomasi pertahanan  kerana ini dengan sendirinya turut meletakkan Negara Brunei Darussalam selaku penyumbang terhadap keselamatan antarabangsa.

    Saranan

    Selaku rakyat yang cintakan negara, sama-samalah kita menanam semangat kenegaraan dan perjuangan yang tinggi dalam diri masing-masing dan jangan sesekali hanya menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada anggota tentera saja. Tanggungjawab mempertahankan negara bukan terletak di bahu angkatan tentera sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak.

    Lebih-lebih lagi para cendekiawan dan pelajar khususnya semua warga harus sedar bahawa tanggungjawab mereka cukup besar bagi memastikan aspek perpaduan dalam negara dipertingkatkan, kestabilan politik dan ekonomi semakin baik manakala bidang sosial bermanfaat yang berteraskan panduan Pencipta yang Maha Mengetahui.

    Untuk itu kita sangat berterima kasih kepada ABDB telah dapat melaksanakan amanah dan menjalankan tugas dalam menjaga dan mengekalkan keamanan di negara kita ini. Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-56 ABDB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda