Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkembangan teknologi beri peluang sosioekonomi lebih besar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Teknologi dan inovasi dalam industri penerbangan awam saling berkait rapat sejajar dengan peraturan dan dasar dalam mempertingkatkan strategi pengangkutan udara yang mampan untuk perkembangan dan kepelbagaian ekonomi.

    “Ini adalah sejajar dengan salah satu objektif strategik dalam pelan strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 2025 yang mengaitkan perkembangan teknologi dengan meningkatkan kesalinghubungan ke arah peluang sosioekonomi yang lebih besar, peningkatan inovasi dan kualiti hidup yang lebih tinggi.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof (gambar) dalam perutusan sempena Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2021.

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato berkata Hari Penerbangan Awam Antarabangsa disambut oleh 193 buah negara ahli Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada setiap 7 Disember dengan tema tahun 2020 sehingga 2023 ialah Advancing Innovation for Global Aviation Development.

    “Seperti yang kita sedia maklum, hampir keseluruhan ekonomi dunia telah terkesan daripada wabak COVID-19, tidak terkecuali sektor pengangkutan udara yang merupakan antara sektor yang teruk terjejas.

    “ICAO secara berterusan mendukung dan membantu negara-negara ahlinya dalam penyediaan dan pelaksanaan garis panduan-garis panduan protokol keselamatan dan kesihatan bagi syarikat-syarikat penerbangan, lapangan-lapangan terbang dan aktiviti penerbangan lain secara maya,” tambahnya.

    Sementara itu, di peringkat serantau, Yang Berhormat Dato berkata bahawa di bawah pelan pelaksanaan ASEAN Comprehensive Recovery Framework (ACRF), garis panduan pertama bagi operasi ASEAN-wide COVID-19 untuk perlindungan dan keselamatan para penumpang dan anak-anak kapal penerbangan telah diluluskan pada November 2020 semasa Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-26 yang telah dipengerusikan oleh Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berkata, “Dalam usaha pemulihan sektor pengangkutan udara, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) adalah antara beberapa buah kementerian dan agensi kerajaan yang bekerjasama melalui Pasukan Petugas (Taskforce) Hal Ehwal Rentas Sempadan dalam penyediaan dasar dan garis panduan serta perancangan pelbagai strategi dan inisiatif mengenai rentas sempadan melalui pengangkutan udara.”

    Dalam sektor penerbangan awam, satu inisiatif permulaan ialah pelaksanaan Reciprocal Green Lane (RGL) antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura yang telah mula berkuatkuasa pada 1 September 2020 yang lalu.

    Beliau berkata bahawa Negara Brunei Darussalam sebagai negara ahli ICAO komited dalam usaha ke arah memastikan keselamatan dan sekuriti pe-ngangkutan udara antarabangsa adalah terjamin.

    “Dalam hal ini, ICAO Council Aviation Recovery Taskforce (CART) telah mengeluarkan garis panduan pemulihan daripada pandemik COVID-19 edisi ke-4 pada Oktober 2021.

    “Negara Brunei Darussalam turut menyokong dan mengguna pakai garis panduan ini dan sehingga kini, telah melaksanakan modul-modul yang berkaitan dengan langkah-langkah mitigasi risiko bagi lapangan-lapangan terbang, anak-anak kapal, pesawat dan kargo seperti yang dicadangkan dalam garis panduan CART tersebut.”

    ICAO, ulasnya, juga menggalakkan inovasi dan keupayaan teknologi baharu untuk meningkatkan prestasi kecekapan kawalseliaan pemanduan udara melalui peralihan daripada Perkhidmatan Maklumat Aeronautik (AIS) kepada Pengurusan Maklumat Aeronautik (AIM).

    Dalam hal itu, Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi tidak terkecuali dalam melaksanakan keperluan ICAO bagi peralihan AIS kepada AIM di mana projek peralihan AIS kepada AIM akan bermula pada Jun 2022 dan dijadualkan siap dilaksanakan pada Mac 2023. Projek pendigitalan maklumat itu bertujuan untuk meningkatkan ketepatan, keberkesanan dan kecekapan sistem pemanduan udara bagi Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda