BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Bank Standard Chartered (SCB), baru-baru ini, telah menganjurkan hari ‘Bawa Anak Anda ke Tempat Kerja’ untuk menggalakkan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pejabat bagi mempelajari mengenai bagaimana bank beroperasi dan apa yang ibu bapa mereka lakukan.
Menurut kenyataan SCB, 17 orang kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun mengambil bahagian dalam program sukarelawan berkenaan di mana mereka berhimpun di ibu pejabat bank berkenaan di ibu negara.
Ketua Sumber-sumber Manusia di SCB Brunei, Dayang Laila Li Abdullah dipetik sebagai berkata, “Di SCB, kami menggalakkan sepenuhnya sebarang kerja kesukarelawanan yang berpendidikan dan mempromosikan keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat.
“Tiada cara yang lebih baik untuk kanak-kanak mempelajari mengenai bank daripada pengalaman sepetang ‘bekerja’ di bank bersama ibu bapa mereka,” tambah beliau.
Menurut kenyataan itu lagi, acara berkenaan bertujuan untuk mendedahkan kanak-kanak kepada persekitaran kerja yang positif dan mula membangunkan kemahiran yang boleh digunakan sepanjang hayat.


Ibu bapa, sukarelawan dan kanak-kanak meluangkan masa petang Jumaat itu bersama-sama di Ibu Pejabat SCB.
Kanak-kanak berkenaan diberikan beg kudap-kudapan dan menyertai aktiviti-aktiviti menyeronokkan seperti mewarna, mencari perkataan kewangan dan pelbagai permainan lain. Program berkenaan dijalankan oleh kakitangan sukarelawan.
Program telah dimulakan dengan lawatan ke sekitar pejabat utama dan termasuk pelbagai aktiviti untuk berkongsi kerja menarik di bank dan mencetuskan minat dalam kalangan kanak-kanak terhadap tempat kerja dan rakan sekerja.
Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada para pekerja untuk menunjukkan anak-anak mereka di mana mereka bekerja dan membolehkan kanak-kanak untuk lebih memahami mengenai apa yang ibu bapa mereka lakukan sementara rakan-rakan sekerja dapat mengenali keluarga masing-masing.