Friday, February 28, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkenan kemas kini dasar caj perkhidmatan, rawatan kesihatan penduduk tetap stateless

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi pengemaskinian dasar caj perkhidmatan kesihatan khususnya bagi penduduk tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless).

    Dengan perubahan ini, penduduk tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan hanya akan dikenakan caj pendaftaran sebanyak $1, berbanding $3 sebelum ini.

    Perubahan caj perkhidmatan dan rawatan bagi penduduk tetap yang stateless telah berkuat kuasa serta-merta. – Gambar fail Rafi Rosli

    Selain itu, konsultasi, rawatan-rawatan termasuk rawatan bagi strok, kardiovaskular dan kanser dan caj perkhidmatan kesihatan adalah diselaraskan dengan Skim Pembayaran Kementerian Kesihatan bagi rakyat Negara Brunei Darussalam.

    Kementerian Kesihatan juga menyarankan kepada mereka yang hendak mendapatkan rawatan untuk membawa dokumen-dokumen yang penting seperti kad pengenalan peribadi atau pasport bagi memudahkan sebarang urusan.

              Pengemaskinian itu diharapkan dapat memastikan bahawa rakyat Negara Brunei Darussalam dan penduduk tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless) menerima rawatan kesihatan yang sewajarnya.

    Ini sejajar dengan komitmen kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, inklusif, dan mampu diakses oleh semua lapisan masyarakat.

    Kementerian Kesihatan akan terus berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara.

    Pelaksanaan perubahan dasar tersebut akan berkuat kuasa dengan serta-merta.

    Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn, Instagram @mohbrunei atau Talian Darussalam 123 serta mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda