BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan pelantikan dan penetapan jawatan pegawai-pegawai kanan.
Pegawai-pegawai itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Protokol dan Hal Ehwal Konsular), Haji Muhamad Fakhri bin Haji Mohd Taib yang dinaikkan pangkat dan ditetapkan dalam jawatan dipangkunya sebagai Setiausaha Tetap (Protokol, Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Sementara itu, Pegawai Pentadbir Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Siti Norashikin binti Mohammad Salleh telah dinaikkan pangkat dan ditetapkan dalam jawatan yang dipangkunya sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar, Korporat dan Perancangan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Kenaikan pangkat dan penetapan jawatan pegawai-pegawai kanan tersebut berkuat kuasa mulai 17 Ogos.


