Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Program perkhemahan, Huffaz Islamic Camp 2024 anjuran Al-Huffaz Management yang diadakan selama empat hari tiga malam bermula 5 hingga hari ini telah menutup tirainya dengan majlis penutup bertempat di Pusat Dakwah Islamiah (PDI).
Program tersebut telah disertai oleh seramai 30 peserta, terdiri daripada 16 peserta lelaki dan 14 peserta perempuan.
Hadir sebagai tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang kemudiannya turut menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada 30 peserta.
Para peserta diberikan peluang untuk mempersembahkan hasil hafazan mereka, di samping penyampaian sijil kepada peserta terbaik serta mereka yang turut terlibat, sambil mempamerkan perjalanan mereka sepanjang program ini.
Dengan sokongan Urus Setia Program Keagamaan Belia, PDI, program perkhemahan itu berjaya memupuk hubungan yang lebih mendalam dengan Al-Quran sambil mencipta kenangan manis melalui pelbagai aktiviti bertemakan Islam, termasuklah menunggang kuda dan memanah yang berinspirasikan sunnah Rasulullah SAW.
Selain itu, peserta juga diberi peluang untuk memperkukuhkan kemahiran hafazan mereka, membangunkan semangat berpasukan, disiplin dan keyakinan dalam suasana yang menyeronokkan dan menyokong.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Huffaz Management, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan turut menyampaikan penghargaan beliau kepada semua yang telah menyertai dan menyokong program ini.
“Kem ini bukan sahaja memberi peluang kepada generasi muda untuk mendalami Al-Quran tetapi juga mencipta pengalaman bermakna yang menggalakkan mereka menghargai nilai-nilai Islam.
“Kami amat berbangga dengan semangat dan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang program ini,” ujar Haji Mohammad Loqman.
Program perkhemahan itu telah menjadi bukti kejayaan dalam usaha untuk memberi inspirasi generasi muda agar lebih mencintai Al-Quran dan mengamalkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan seharian mereka.