Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhemahan perkasa beliawanis jadi pemimpin masa depan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Perkhemahan Beliawanis Harapan, Wira Kebajikan 2.0 yang bertemakan Slay, Heal, Empower (SHE) telah berjaya menghimpunkan kira-kira 30 orang beliawanis dari seluruh negara selama tiga hari dua malam bermula 9 Ogos lalu pada dua buah lokasi iaitu di Masjid Zainab Lumut dan Sekolah Menengah (SM) Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Daerah Belait.

    Hadir selaku tetamu khas semasa majlis penutup perkhemahan ialah isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Datin Norazimah binti Haji Ramlee.

    Perkhemahan berkenaan merupakan inisiatif bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), serta Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu telah dikendalikan oleh Kelab Belia Masjid Zainab Lumut dengan kerjasama Kumpulan Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Belia Masjid Senegara.

    Perkhemahan tersebut dijalankan dengan tujuan untuk memperkasa beliawanis sebagai pemimpin masa depan yang berintegriti dan berwawasan, di samping meningkatkan kesedaran sosial serta kepekaan terhadap isu-isu kemasyarakatan.

    Antara lain tujuan program tersebut diadakan adalah untuk membentuk jati diri kukuh melalui pendekatan spiritual, intelektual dan emosi serta mewujudkan jaringan sokongan antara beliawanis daripada pelbagai latar belakang.

    Sepanjang perkhemahan, para peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan meliputi pembinaan keperibadian unggul, kepimpinan beretika dan berkesan, kepekaan sosial serta peranan beliawanis dalam masyarakat.

    Selain itu, aktiviti seperti sesi kerohanian, latihan kepimpinan, kerja berkumpulan dan program kemasyarakatan turut dijalankan bagi memperkukuh nilai murni dan semangat kebersamaan.

    Sebagai acara kemuncak majlis, sesi penyampaian sijil penyertaan serta hadiah kepada peserta dan kumpulan terbaik telah disempurnakan oleh disampaikan Datin Norazimah, sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pencapaian yang diberikan sepanjang program.

    Perkhemahan itu ditaja sepenuhnya oleh Yayasan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong pembangunan modal insan dan memperkukuh peranan beliawanis sebagai agen perubahan positif di negara ini.

    Datin Norazimah menyampaikan sijil penyertaan dan hadiah kepada salah seorang peserta semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Datin Norazimah bergambar ramai bersama peserta semasa acara berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda