Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhemahan pupuk potensi belia

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sesungguhnya, masa depan sesebuah negara terletak di tangan generasi mudanya. Jika anak muda hari ini memiliki integriti dan berakhlak mulia, maka cemerlanglah masa hadapan negara. Sebaliknya, kita harus bersedia menghadapi cabaran dan risiko yang mungkin mendatang. Kata-kata ini sering diungkapkan oleh tokoh-tokoh besar yang menyedari bahawa generasi muda adalah tonggak harapan bangsa.

    Dalam era globalisasi dan teknologi yang berkembang pesat ini, ramai anak muda terjebak dalam gaya hidup yang melalaikan. Masa yang berharga disia-siakan tanpa tujuan yang jelas, menyebabkan mereka hilang arah dan potensi. Jika fenomena ini dibiarkan, kesannya bukan sahaja terhadap diri mereka sendiri, tetapi juga terhadap pembangunan negara.

    Belia adalah aset terpenting bagi mana-mana negara dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada sejauh mana belia tersebut mampu mengoptimumkan potensi diri mereka.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Awang Muhammad Zarif ‘Aqiel bin Ramlee selaku pengerusi projek Youth Caliph Camp 5.0 yang diadakan selama empat hari tiga malam bermula 10 Disember lalu bertempat di Pusat Dakwah Islamiah, Bandar Seri Begawan.

    Dengan tema Reach For The STAR, program perkhemahan di bawah inisiatif anjuran Al-Jiilul Faatih itu bertujuan untuk membuka potensi diri golongan belia dan remaja, memupuk asas kepimpinan, kemahiran serta mengasah sifat-sifat positif seperti tanggungjawab, berdaya saing, dan solidariti agar mereka dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat di masa hadapan.

    Antara belia yang menyertai program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AL-JIILUL FAATIH
    GAMBAR SERAHAN AL-JIILUL FAATIH
    Para peserta bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AL-JIILUL FAATIH

    PERKASA NILAI-BILAI BERTERASKAN ISLAM

    Seramai 40 orang peserta terdiri daripada golongan belia dan beliawanis muda berumur 12 hingga 15 tahun telah berjaya mengikuti perkhemahan tersebut.

    Dalam pada itu Awang Muhammad Zarif turut menjelaskan pelaksanaan perkhemahan yang mengambil inspirasi daripada ajaran Islam dan nilai-nilai kepimpinan yang unggul itu telah dimuatkan dengan pelbagai aktiviti berteraskan usaha ke arah menanamkan ciri-ciri kepimpinan akhlak Rasulullah SAW.

    Mencontohi akhlak Rasulullah SAW secara sempurna memang sukar kerana Baginda digambarkan sebagai insan kamil (manusia sempurna) yang tidak ada bandingnya.

    Namun demikian, bukan bererti mustahil untuk mencontohi Baginda Rasulullah SAW kerana umat Islam dituntut berusaha tanpa mengira apa pun hasilnya dalam setiap tindak-tanduk perbuatan seharian. Hal ini kerana keperibadian Baginda adalah sifat yang terbaik dan meliputi setiap aspek kehidupan.

    Rasulullah SAW adalah Uswatun Hasanah iaitu contoh ikutan yang baik dalam semua aspek kehidupan seperti dari sudut ketaatan dan keimanan kepada Allah AWT, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan sifat-sifat mulia, siasah pentadbiran dan sebagainya.

    Hal ini terbukti melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 sebagaimana tafsirnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi mu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

    Oleh itu amat wajarlah sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda Rasulullah SAW dijadikan sebagai sebuah rentetan sejarah hidup yang panjang dipenuhi dengan pelbagai pengajaran dan pedoman untuk umat Islam sejagat serta menjadi ikutan, panduan dan sebagai suri teladan sepanjang zaman.

    DI SEBALIK AL-JIILUL FAATIH

    Dalam mengulas ringkas mengenai latar belakang, Awang Muhammad Zarif berkata Al-Jiilul Faatih membawa maksud Generasi Pembuka, merupakan satu inisiatif pengurusan projek yang didorong oleh pemuda Brunei yang aktif dengan memanfaatkan kemahiran yang ada untuk memberi impak positif kepada masyarakat Brunei.

    “Kami percaya pada potensi generasi sekarang untuk bersama-sama membangun masyarakat melalui pelbagai cara sama ada secara individu atau kolaborasi agar dapat membentuk komuniti yang berdaya tahan.”

    “Melalui program-program seperti perkhemahan ini, kita dapat membentuk keperibadian belia yang mantap dari segi kepimpinan, keyakinan diri, dan integriti. Perkara ini bukan sahaja penting untuk mencapai Wawasan Negara 2035, tetapi juga untuk membina masyarakat yang seimbang dan berpandangan jauh. Inilah titik tolak untuk para belia Brunei tampil ke hadapan, memperjuangkan kebenaran, dan memperkukuh nilai-nilai agama Islam dalam kehidupan seharian,” ujarnya di akhir perkongsian bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda