Perkhidmatan 5G tidak bebankan pengguna

KUALA LUMPUR, 10 NOV – Pengguna dijangka tidak perlu membayar kos yang tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan 5G kerana kerajaan Malaysia telah mengambil kira soal itu sebelum melaksanakannya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata melalui Digital Nasional Berhad (DNB) yang merupakan agensi pelaksana perkhidmatan itu, Malaysia telah menetapkan agar kos kemudahan terbabit perlu efektif supaya tidak membebankan pengguna.

“Disebabkan itu, kita telah berusaha mencari modul perkhidmatan yang cost-effective dengan model 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration yang dikendalikan DNB.

“Ini kerana jika setiap syarikat telekomunikasi membuat infrastruktur sendiri, ia akan mengakibatkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan ini menjadi less efficient (harga tidak mampu milik) kepada pengguna.

“Justeru, dengan model MOCN yang dikendalikan DNB itu, perkhidmatan 5G tidak menggunakan konsep ‘different operators different infrastructures’, sebaliknya menekankan tentang ‘one single owner’ supaya perkhidmatan diberi lebih efisien dan dapat mengurangkan kos harga,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi 5G MOCN Integration oleh DNB di Telekom Malaysia Titiwangsa di sini, hari ini.

Ujian kelajuan talian menunjukkan tahap kelajuan ke atas lima jenis talian telefon iaitu Maxis, Celcom, UMobile, Digi dan TM Unifi pada majlis Pelaksanaan Rangkaian Teras Pelbagai Operator 5G di Ibu Sawat Telekom Malaysia (TM) Jalan Kuantan, Titiwangsa pada 10 November. – Bernama

Annuar menambah dengan model MOCN itu juga, pihak kerajaan berharap dapat menjadikan Malaysia sebagai satu daripada negara peneraju bagi perkhidmatan rangkaian 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ini penting kepada kerajaan kerana sebahagian daripada perancangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah bergantung kepada keupayaan kita menyediakan 5G.

“Malah dalam menyediakan kemudahan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memainkan peranan sebagai badan pengawal selia supaya tiada pihak perlu risau akan isu ketelusan dan sebagainya,” katanya.

Menurut ahli Parlimen Ketereh itu lagi, sepertimana terkandung dalam pelan tindakan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital), DNB diberikan tempoh sebelum akhir tahun ini untuk melaksanakan perkhidmatan 5G ke kawasan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur terlebih dahulu.

”Ini bermakna dalam tempoh tiga tahun ini pula, kita jangka untuk menjangkau kira-kira 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh Malaysia. Ini satu agenda nasional yang sangat penting kerana akan menjadi game changer (pencetus perubahan) kepada aktiviti ekonomi di Malaysia,” katanya. – Bernama