Sunday, December 29, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan awam perlu lebih efisien

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Persekitaran yang dinamik dan kompleks menuntut perkhidmatan awam membuat pembaikan dan perubahan secara berterusan agar terus relevan dengan tuntutan semasa.

    Ke arah itu, adalah perlu untuk menitikberatkan cara bekerja yang berinovasi supaya lebih efisien di samping beretika.

    Perkara itu ditekankan oleh Pengarah Institut Perkhidmatan Awam, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya pada majlis sambutan Hari Pelanggan Institut Perkhidmatan Awam (HPIPA) 2023 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan HPIPA 2023 ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin yang turut menyempurnakan pelancaran Direktori Program Pembelajaran dan Pembangunan IPA bagi Tahun Kewangan 2023/2024.

    Dr Hajah Noor Maya dalam ucapannya menambah, sejak penubuhannya sebagai Unit Latihan pada 1977, IPA terus memainkan peranan untuk melengkapi warga perkhidmatan awam dengan kemahiran dan kompetensi yang diperlukan, bagi mencapai kecemerlangan dalam organisasi dan penyampaian perkhidmatan.

    Melalui pelan strategik 2021-2025, jelasnya lagi, IPA terus mengorak langkah untuk menyediakan program-program latihan yang diperlukan oleh pegawai dan kakitangan dan organisasi.

    IPA telah membuat beberapa aktiviti untuk mengenal pasti pembelajaran yang diperlukan termasuk membuat kaji selidik keperluan pembelajaran, membuat perjumpaan dengan jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian dan sebagainya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, melalui majlis tersebut, pemberigaan senarai program-program baharu dapat dikongsikan di mana sebanyak 58 program telah disediakan.

    Gambar ramai tetamu kehormat dengan tetamu khas yang lain.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda