KUCHING, 3 JULAI – Penduduk di bahagian Samarahan dan Santubong akan menikmati perkhidmatan bas henti-henti Maraliner, sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) bermula bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek perintis itu akan menjadi pencetus perubahan dari segi kemudahan awam bagi penduduk setempat di dua kawasan berkenaan.
“Walaupun perkhidmatan bas henti-henti ini tidak memberikan keuntungan kepada syarikat, ia memberikan impak sosial kepada masyarakat terutamanya kawasan yang tidak dilalui oleh bas ekspres dan saya melihat perkara dari segi perancangan jangka panjang,” katanya.
Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan bersama kerajaan negeri di sini hari ini, beliau berkata susulan projek perintis itu nanti, perkhidmatan bas Maraliner ini juga akan diperluas lagi supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai penduduk.
“Kita melihat dari segi kebolehsampaian untuk penduduk di luar bandar, perkhidmatan bas ini kelak bukan hanya menghubungkan jalan ataupun melalui lebuhraya Pan Borneo, bahkan turut dicadangkan untuk melalui Brunei sehingga Sabah,” katanya. – Bernama


