Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dengan hasrat untuk merapatkan lagi hubungan dengan orang ramai termasuk murid sekolah, beberapa orang kakitangan Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Daerah Tutong telah mengadakan perkhidmatan bergerak ke Sekolah Rendah Bukit Beruang, Tutong, kelmarin.
Perkhidmatan bergerak DBP Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 (HK39) itu turut mengetengahkan aktiviti kuiz Hari Kebangsaan.
Seramai 62 orang murid Tahun 3 sekolah berkenaan mengambil bahagian dalam aktiviti itu yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan murid mengenai sejarah Brunei.
Pada masa yang sama, ia juga dihasratkan untuk mengetengahkan perpustakaan sebagai bukan sahaja bagi mendapatkan sumber ilmu tetapi sebagai tempat untuk komuniti mengadakan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan meningkatkan keyakinan diri mereka semasa menyertai aktiviti.
Dengan adanya perkhidmatan bergerak Perpustakaan DBP Cawangan Daerah Tutong seumpama itu, ia akan dapat merapatkan lagi hubungan antara perpustakaan dengan orang ramai terutamanya penduduk di Daerah Tutong.