MADINAH, 25 OGOS – Musim umrah terus menyaksikan kemasukan berterusan jemaah ke Madinah, dengan pihak berkuasa berkaitan berganding bahu menyediakan perkhidmatan menyeluruh yang berkualiti tinggi, lapor agensi berita Saudi (SPA).
Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz menerima peningkatan jumlah jemaah umrah dengan kakitangan lapangan terbang dan pasukan sokongan bertungkus-lumus memastikan kelancaran pengangkutan, penyediaan panduan serta perkhidmatan katering, sekali gus menawarkan pengalaman ketibaan yang selesa dan lancar.
Sejak awal musim, jemaah daripada pelbagai bangsa turut memenuhi Masjid Nabawi. Pihak Berkuasa Am Penjagaan Dua Masjid Suci dengan kerjasama agensi berkaitan menyediakan sistem perkhidmatan bersepadu sama ada di dalam masjid mahupun di perkarangan dan kawasan pusat sekitarnya.
Selain itu, pihak berkuasa turut memudahkan perjalanan jemaah ke tapak-tapak bersejarah utama.
Miqat Dhu Al-Hulayfah yang dikendalikan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Al Madinah terus menerima sejumlah besar jemaah dari dalam dan luar negara sebelum mereka menuju ke Mekah.
Masjid-masjid bersejarah di Madinah juga menjadi tumpuan utama, menerima ribuan jemaah yang datang menunaikan solat dan menghayati sejarah agung zaman Nabi Muhammad SAW.
Pelbagai kemudahan disediakan bagi memastikan setiap pengunjung menikmati perjalanan yang lancar serta pengalaman rohani yang bermakna. – Bernama


