LABUAN, 25 FEB – Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu yang dicadangkan untuk disambung semula dijangka mencapai penyelesaian dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan, melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kerajaan Sabah telah menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu itu dalam satu perbincangan secara bersemuka kelmarin.
Zaliha berkata perbincangan tersebut mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu…Perkhidmatan ini bukan sahaja penting sebagai satu lagi laluan pengangkutan utama, tetapi juga berperanan besar dalam merancakkan ekonomi kedua-dua wilayah.
“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menyambut baik cadangan itu dan kedua-dua pihak komited untuk menyelesaikan isu ini dengan segera bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat disambung semula demi kepentingan orang ramai,” katanya kepada Bernama hari ini. – Bernama
