Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Perkhidmatan Fisioterapi, Aras B2, Blok 8, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) akan berpindah ke Kompleks Sukan, Hospital RIPAS dan akan memulakan perkhidmatan pada 2 Oktober depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, pemindahan itu adalah disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian yang akan dijalankan di Blok 8, Hospital RIPAS.
Sehubungan itu, perkhidmatan pesakit luar bagi Perkhidmatan Fisioterapi akan ditutup sementara pada 25 hingga 30 September, bagi memudahkan pemindahan peralatan-peralatan perubatan dan keperluan bagi perkhidmatan berkenaan sebelum mula beroperasi di Kompleks Sukan.
Para pesakit yang mempunyai tarikh perjanjian atau rujukan pada tempoh berkenaan akan diubah kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Walau bagaimanapun, bagi pesakit yang memerlukan perkhidmatan segera seperti peminjaman alat bantu berjalan, ia masih boleh diperoleh daripada Perkhidmatan Fisioterapi di lokasi yang asal pada waktu-waktu bekerja, sepanjang tempoh penutupan.
Manakala, perkhidmatan fisioterapi bagi pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan atau sedang menerima rawatan di wad hospital ia tidak akan terjejas.
Kementerian Kesihatan ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan ketidakselesaan yang timbul. Kefahaman, kerjasama dan kesabaran orang ramai ke arah itu adalah sangat-sangat dihargai.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau bagi sebarang pertanyaan, mereka boleh terus menghubungi talian 2242424 sambungan 5749 atau 603I pada waktu bekerja.


