Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan hab VSAT diperkenal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Network Integrity Assurance Technologies Sdn Bhd (NiAT) dengan bangganya memperkenalkan perkhidmatan hab VSAT pertama Brunei yang dikenali sebagai ACTIVATE.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh NiAT, di sini, hari ini, ACTIVATE merupakan perkhidmatan komunikasi satelit yang berfungsi atas platform iDirect Evolution di mana dengan perkhidmatan itu, NiAT berhasrat untuk menyediakan kesalinghubungan VSAT yang lebih efisien, kos-efektif dan penggunaan bandwidth yang lebih fleksibel untuk semua pengguna.

    ACTIVATE akan menawarkan kedua-dua frekuensi C-band dan Ku-band untuk memenuhi majoriti keperluan dan aplikasi, mengekalkan SLA pada 99.95 peratus bagi C-band dan 98.5 peratus bagi Ku-band.

    Matlamat utama dan hasrat NiAT dengan tambahan perkhidmatan terbaharunya itu adalah untuk menghubungkan mereka yang belum dihubungkan dan untuk memperkayakan lagi pengalaman bagi mereka yang sudah dihubung bersesuaian dengan slogan NiAT iaitu menghubungkan yang belum dihubungkan (connecting the unconnected).

    Ketua Pegawai Eksekutif NiAT, Lim Ming Soon ketika berucap semasa pelancaran dalam talian ACTIVATE menyatakan bahawa NiAT akan mencapai usia 11 tahun dalam masa kira-kira sebulan dan amat gembira kerana masih dapat memberikan perkhidmatan satelit terbaik ke pasaran Brunei.

    Beliau berkata bahawa pelancaran perkhidmatan terbaharu itu merupakan satu lagi mercu tanda bagi syarikat GLC tempatan berkenaan, dalam usaha untuk bergerak ke hadapan bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan satelit unggul negara.

    Antena 7.2 yang memancarkan VSAT. – Gambar serahan NiAT
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda