Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan, kapasiti CDC terus dipantau

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Kementerian Kesihatan sentiasa memantau secara berterusan keperluan bagi perkhidmatan Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC) termasuk kapasiti para doktor, jururawat dan ahli profesional kesihatan bersekutu (AHPs) bagi menampung peningkatan keperluan perkhidmatan kanak-kanak di bawah CDC.

    Peningkatan diagnosis kanak-kanak autisme adalah disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan kesedaran awam dan peningkatan saringan awal di pusat-pusat kesihatan seperti Klinik Kesihatan Ibu dan Anak.

    Menurut statistik CDC, jumlah rujukan kepada doktor telah menunjukkan peningkatan ketara, daripada 400 rujukan pada tahun 2010 kepada 1,056 rujukan pada tahun 2024. Peningkatan ini turut memberi kesan terhadap tempoh menunggu perkhidmatan, yang diakui sebagai satu cabaran dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada intervensi yang diperlukan dengan segera.

    Penjelasan berkenaan antara disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr Haji Mahali bin Haji Momin semasa Persidangan MMN ke-21 bagi hari ke-11 kelmarin berkaitan usaha dan program yang dirancang oleh Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan pengesanan awal serta memperkukuh sokongan bagi kanak-kanak autisme dan juga penjelasan lanjut untuk mengetahui sekiranya kapasiti CDC juga perlu dipertimbangkan bagi menangani kes autisme yang kian meningkat.

    “Satu sistem yang dinamakan M-CHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers) telah mula digunapakai di pusat dan klinik kesihatan kanak-kanak pada 1 November 2024 bagi pengesanan awal autisme di kalangan kanak-kanak berumur 18 bulan hingga dua tahun.

    “Sehingga kini, seramai 3,127 anak damit telah disaring menggunakan kaedah ini dan daripada jumlah tersebut, 100 orang kanak-kanak telah dirujuk ke CDC untuk penilaian lanjut. Dengan penggunaan sistem M-CHAT ini, intervensi awal dapat diberikan kepada kanak-kanak yang menunjukkan gejala autisme,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Terdahulu Yang Berhormat Dato turut mengongsikan CDC yang baharu ditubuhkan pada tahun 2021 di Kampung Kiarong yang mempunyai lima buah banglo dan satu taman permainan khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Pusat berkenaan mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan, termasuk khidmat daripada pakar, psikologi, terapi pertuturan dan bahasa (SLT), audiologi, fisioterapi dan jurupulih kerja bagi menyediakan sokongan yang menyeluruh.

    CDC berperanan sebagai pusat bagi mendiagnosis dan menangani kanak-kanak yang mempunyai kondisi seperti autisme, masalah pembelajaran, ADHD (attention deficit hyperactivity disorder), cerebral palsy dan juga Sindrom Down dan lain-lain.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa kanak-kanak yang didiagnos adalah merangkumi spektrum yang luas. Bagi memanfaatkan dan meningkatkan peranan mereka, CDC sentiasa bergiat aktif dalam memberikan taklimat serta tunjuk ajar kepada ibu bapa dan penjaga supaya mereka dapat sama-sama memberikan sokongan yang diperlukan kepada anak-anak mereka.

    Oleh itu, tambahnya, ibu bapa juga boleh mendapatkan perkhidmatan dari agensi-agensi bukan kerajaan yang memberikan rawatan khusus bagi kanak-kanak autisme. Manakala CDC akan terus berusaha untuk meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatannya, bukan sahaja dalam menangani kes autisme, tetapi juga bagi kondisi perkembangan kanak-kanak lain yang sama penting untuk ditangani.

    “Kementerian Kesihatan peka akan peningkatan bilangan pesakit autisme serta tempoh menunggu yang panjang untuk mendapatkan penilaian dan pemeriksaan. Sehubungan itu, Kementerian akan meneliti keperluan tambahan, termasuk dari segi tenaga kerja dan kemudahan ruang bagi memastikan perkhidmatan yang lebih efisien dan mudah diakses,” tekan Yang Berhormat Dato.

     Seorang kanak-kanak mencuba permainan sambil diperhatikan ahli terapi dalam satu pameran CDC. – GAMBAR FAIL NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda