LAEM CHABANG/KUNMING, 20 APRIL – Sebuah kereta api yang membawa 23 kontena durian dan manggis tiba di Kunming kelmarin, sekali gus menyaksikan pengeksport buah-buahan Thailand kini mula beralih menggunakan perkhidmatan Kereta Api China-Laos yang memudahkan lagi akses ke pasaran China.
Bekas pakar import dan eksport di Kementerian Pertanian dan Koperasi Thailand, Orathai Euatrakool, 67, berkata sebelum ini, sejumlah besar durian dihantar ke China kebanyakannya melalui jalan darat dan laut, masa yang diambil sukar untuk dijangkakan kerana bergantung kepada faktor cuaca.
Tetapi kini, barangan boleh sampai ke Kunming dalam masa tiga hari menggunakan perkhidmatan Kereta Api China-Laos dari Thailand dan lebih banyak durian dapat dieksport, katanya.
Menurut data Kementerian Perdagangan Thailand, China merupakan pasaran eksport terbesar durian Thailand pada 2022, menyumbang lebih 96 peratus daripada jumlah eksport bernilai AS$3.09 bilion.
Thailand Royal Farm Group Co, Ltd telah menjalankan perniagaan eksport durian di Wilayah Chanthaburi, lokasi pengeluar durian terkenal Thailand, selama lebih 16 tahun. – Bernama
