KOTA KINABALU, 14 Sept – Kerajaan pusat melalui Kementerian Pengangkutan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM101 juta untuk melaksanakan tiga projek memodenkan perkhidmatan kereta api di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata tiga projek itu melibatkan projek menaik taraf landasan dari Halogilat Beaufort ke Tenom, memperoleh tiga buah lokomotif Diesel Multiple Unit (DMU) dan menjalankan kajian tentang sistem komunikasi untuk perkhidmatan rel di Sabah.
“Kajian ini akan mengenal pasti peralatan komunikasi yang moden dan sesuai untuk digunakan dalam meningkatkan lagi tahap keselamatan landasan sedia ada sepanjang 134 kilometer dari Tanjung Aru ke Tenom.
Ketiga-tiga projek ini dijangkakan bermula pada tahun ini. Selain itu kementerian saya juga dalam perancangan memperluaskan rangkaian perkhidmatan rel di Sabah bagi memenuhi tuntutan awam mengenai perkhidmatan pengangkutan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Perkhidmatan Kereta Api Kebangsaan Zon Sabah, di sini hari ini.
Dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan kereta api di Sabah, Pairin berkata baru-baru ini pihaknya telah melancarkan satu set kereta api baru yang mengandungi tiga unit tren yang beroperasi di laluan Beaufort ke Tenom sejauh 48 kilometer.
Mengulas mengenai program itu, Pairin berkata ia merupakan satu medium yang tepat dalam menyampaikan maklumat dan mendedahkan kepada pelajar tentang keperluan kemahiran dalam industri rel khususnya di Sabah. – Bernama