LONDON, 24 MEI – Perkhidmatan kereta api Elizabeth yang lama ditangguhkan akhirnya dibuka di London hari ini, dengan harapan ia akan mempercepat perjalanan di ibu negara Britain dan merangsang ekonomi negara.
Ratusan orang beratur di luar stesen Paddington di barat London untuk menjadi penumpang pertama kereta api itu apabila ia bertolak pada pukul 6:33 pagi.
Datuk bandar London, Sadiq Khan menggelar pembukaan sebagai ‘peristiwa bersejarah’ dan ‘tambahan paling signifikan kepada rangkaian pengangkutan kami dalam beberapa dekad.’
“Sistem kereta api Elizabeth adalah lebih daripada kereta api baharu – ia akan merangsang ekonomi di seluruh negara dan membantu mempercepat pemulihan kami daripada pandemik,” tambahnya.
Perdana Menteri Boris Johnson berkata projek itu diramalkan merangsang ekonomi UK sebanyak £42 bilion.
Hanya satu daripada tiga landasan kereta api yang dibuka hari ini, dari Paddington ke Abbey Wood di tenggara London.
Perjalanan dari Shenfield, timur London ke Liverpool Street dan Lapangan Terbang Heathrow dan Reading, barat ibu negara, ke Paddington akan dibuka pada Mei tahun depan.
Kereta api pada masa ini dijadualkan beroperasi dari 6:30 pagi hingga 11 malam, Isnin hingga Sabtu, dengan perkhidmatan Ahad dijangka bermula pada hujung tahun ini.
Kereta api itu, dinamakan sempena Ratu Elizabeth II, diramalkan membawa sehingga 200 juta penumpang setahun, menambah 10 peratus lagi kapasiti kepada rangkaian pengangkutan London. – AFP