Oleh Salawati Haji Yahya –
Tatkala Negara Brunei Darussalam menjangkau usia kemerdekaan yang mencecah 41 tahun, negara terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dan penduduknya yang bernaung di Bumi Darussalam dengan memberikan tumpuan kepada usaha-usaha memajukan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.
Ke arah itu, salah satu usaha tersebut ialah sektor penjagaan kesihatan, di mana kemajuan dan keberhasilan usaha dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus berkembang maju dan ia dapat dilihat melalui beberapa sistem baharu, konsep rawatan dan peralatan terkini yang digunakan seiringi dengan perkembangan teknologi masa kini.
Kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan turut menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan hampir percuma kepada semua warganegara, dan ini termasuk perkhidmatan hospital, klinik kesihatan dan pusat rawatan yang moden dan dilengkapi dengan teknologi terkini.
KESIHATAN DIGITAL
Negara Brunei Darussalam amat bertuah kerana mempunyai sebuah sistem penjagaan kesihatan progresif yang mengutamakan penjagaan berpaksikan pesakit dan inovasi.
Pelaburan strategik Kementerian Kesihatan dalam sistem kesihatan digital, analisis data dan peralatan diagnostik generasi akan datang membolehkan Brunei Darussalam untuk menyampaikan penjagaan kesihatan yang memenuhi standard antarabangsa.
Kemajuan dalam bidang kesihatan ini, turut dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat dan penduduk di negara ini, yang mana perjalanan transformasi kesihatan digital negara iaitu aplikasi BruHealth yang telah diperkenalkan lima tahun lalu terus berkembang dan dipertingkatkan ciri-cirinya.
Aplikasi BruHealth 5.0 adalah sebuah platform transformatif yang direka untuk memperkasakan individu dalam menguruskan kesihatan dan kesejahteraan, dan antara ciri terbaharu ialah Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan (PPKK) iaitu Saringan Kanser Pangkal Rahim, di samping Indeks Kesihatan yang mana ciri ini lebih peribadi dengan soal selidik yang lebih pendek dan pintar.
BruHealth 5.0 bukan hanya sekadar aplikasi, malah ia adalah rakan dalam perjalanan kesihatan di mana setiap langkah, daftar masuk dan aktiviti yang direkodkan memberikan maklumat bernilai untuk membentuk masa depan penjagaan kesihatan negara kita.
Dengan integrasi kecerdasan buatan (AI), BruHealth akan meningkatkan penjagaan peribadi, mengoptimumkan penggunaan sumber dan menyokong pembuatan keputusan yang lebih baik.
KESIHATAN MENTAL
Persekitaran kerja yang selamat dan sihat boleh bertindak sebagai faktor perlindungan untuk kesihatan mental.
Keadaan yang tidak sihat termasuk stigma, diskriminasi dan pendedahan kepada risiko seperti gangguan di tempat kerja mampu menjejaskan kesihatan mental, kualiti hidup secara keseluruhan dan mengakibatkan kurang penyertaan atau produktiviti di tempat kerja.
Walaupun kehidupan bekerja amat penting dan boleh membawa kebaikan kepada individu, keluarga dan masyarakat, namun ia juga tidak dapat dinafikan masalah dalam pekerjaan yang tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.
Sehubungan itu, untuk kebaikan individu dan juga kepentingan badan-badan kerajaan dan swasta, dasar-dasar yang bersifat mengutamakan kesihatan mental pekerja adalah perlu untuk dilaksanakan.
Ini dengan mewujudkan suasana tempat kerja di mana setiap pekerja dapat membincangkan mengenai kesihatan mental atau cabaran yang dihadapi tanpa dinilai atau dihukum, dan ini juga termasuk membina kepercayaan antara pekerja dan pengurus atas dasar saling menghormati.
Kesihatan mental yang baik juga merupakan aset yang berharga untuk individu, keluarga dan masyarakat dalam menuju ke arah Wawasan Brunei 2035 dan ia perlu dipupuk dalam semua lapisan masyarakat.
Di samping itu, menggunakan pendekatan holistik dan bersepadu untuk mengekalkan kesihatan mental juga digalakkan iaitu dengan menjaga kesihatan kerohanian melalui istiqamah dalam aktiviti keagamaan seperti solat, mengaji Al-Quran dan berzikir.
Selain menjaga kesihatan fizikal melalui senaman dan pemakanan yang sihat serta tidur dan yang cukup, dan mempelajari kemahiran baharu dan menimba pengalaman positif yang baharu.
KESIHATAN UNTUK SEMUA
Kesihatan merupakan hak asasi setiap individu, di mana setiap orang mempunyai hak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terbaik, mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana jua ia diperlukan tanpa dibebani dengan isu kewangan mengikut prinsip Liputan Kesihatan Sejagat (UHC).
Prinsip UHC telah menjanjikan perlindungan kewangan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan asasi yang boleh mengelakkan terjadinya kemiskinan di kalangan masyarakat, menggalakkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat serta melindungi daripada krisis kesihatan awam.
Negara Brunei Darussalam merupakan salah sebuah negara di rantau Pasifik Barat yang mempunyai indeks UHC yang tinggi dengan sistem kesihatan yang kukuh berlandaskan penjagaan kesihatan asasi yang komprehensif dan disalurkan melalui perkhidmatan komuniti yang berkesan mengikut kawasan tadahan yang meliputi seluruh pelosok negara sebanding dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Singapura.
Pelaburan kerajaan dalam memastikan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara juga telah terbukti berkesan yang diukur melalui pencapaian status kesihatan mengikut petunjuk-petunjuk yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Ini seperti kadar kematian anak damit, liputan imunisasi bagi kanak-kanak, akses kepada ubat-ubatan dan rawatan, dan pelaburan bagi program-program pencegahan dan pemulihan.
UHC memberikan sinar harapan ke arah kesaksamaan yang menjanjikan kesihatan dan kesejahteraan bagi semua tanpa mengira status sosial dan ekonomi dan ia mempunyai prinsip untuk memastikan tiada seorang pun yang terabai daripada hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai UHC, ia bukan sekadar mengembangkan liputan perkhidmatan, tetapi ia memerlukan tranformasi dalam sistem penjagaan kesihatan dan memerlukan pendekatan inovatif, dasar dan peraturan yang kukuh, pelaburan yang berdayatahan untuk membina sistem kesihatan yang teguh dan inklusif bagi memenuhi evolusi keperluan penduduk di Negara Brunei Darussalam dan juga di seluruh dunia.
Ini antara petikan perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2024, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Dengan memberikan akses kepada penjagaan kesihatan akan mampu menyerlahkan potensi manusia, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membina masyarakat yang teguh dan inklusif.