Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan kesihatan percuma, mudah diakses oleh rakyat

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS- Dalam usaha menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bertaraf antarabangsa, komprehensif, selamat dan berkualiti tinggi, Negara Brunei Darussalam tidak beroperasi secara bersendirian.

    “Brunei secara aktif terlibat dalam kerjasama antarabangsa untuk memastikan sistem kesihatan sentiasa maju dan berdaya tahan menghadapi cabaran global”.

    Perkara ini telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr.Haji Md Isham bin Haji Jaafar, kelmarin, di Mesyuarat Kedua, Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara tahun ini yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Md Isham ketika menyampaikan kenyataan mengenai kemampanan perkhidmatan kesihatan juga mengongsikan tiga perkara utama kementerian iaitu kerjasama antarabangsa dan pemerkasaan kewangan kesihatan yang mampan, pengemaskinian Dasar Skim Caj Perkhidmatan Kesihatan yang melibatkan golongan terkesan, serta pendekatan strategik Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh sistem kesihatan negara.

    Penyertaan Brunei dalam World Health Organisation (WHO) turut membuka peluang berkongsi amalan terbaik dan memanfaatkan strategi serta teknologi kesihatan terkini, di mana cabaran utama yang dihadapi ialah memastikan kemampanan kewangan sistem kesihatan negara.

    WHO, jelas Yang Berhormat Menteri turut menekankan, kemampanan kewangan adalah fungsi teras sistem kesihatan.

    “Ia bukan sahaja penting untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan, tetapi juga memastikan perlindungan kewangan rakyat melalui penggunaan sumber secara optimum, kepelbagaian sumber pembiayaan dan jaminan akses yang inklusif,” jelasnya.

    Sejajar dengan prinsip ini, Brunei mengamalkan pengurusan kewangan strategik, perbelanjaan berhemah serta penyesuaian dasar secara berterusan, termasuk perancangan bajet tahunan.

    Pendekatan ini membolehkan negara terus menyokong liputan perkhidmatan kesihatan sejagat secara percuma tanpa menjejaskan kelestarian fiskal jangka panjang.

    Menyentuh mengenai dengan cabaran utama, Keperluan Penggunaan Sumber yang Cekap, tegasnya, negara perlu memastikan sumber kewangan digunakan secara berkesan dan efisien untuk menampung kos, melabur dalam penambahbaikan dan mengekalkan operasi dalam jangka panjang.

    “Peralatan perubatan canggih seperti MRI, CT Scan, mesin Radiotherapy dan Nuclear Medicine memerlukan pelaburan besar dan berterusan, termasuk kos latihan kakitangan dan pengemaskinian teknologi, ” jelasnya.

    Pelbagai Sumber Pembiayaan kesihatan di negara lain biasanya berasal daripada kombinasi percukaian, insurans sosial, insurans swasta dan tanggungan sendiri, dan ini berbeza dengan Brunei di mana ia dibiayai kerajaan dan sebahagian kecil oleh insurans swasta sepenuhnya.

    Perkhidmatan kesihatan diberikan secara percuma atau subsidi tinggi tanpa membebankan pesakit, berbeza dengan sistem co-payment atau fee-for-service yang diamalkan di kebanyakan negara lain.

    Kesihatan kini menjadi komoditi berharga di seluruh dunia, di mana negara lain sudah tidak dapat memberikan perkhidmatan kesihatan percuma dan subsidi kepada rakyat mereka sementara Brunei pula berusaha memastikan perkhidmatan kesihatan percuma dan mudah diakses oleh semua rakyat.

    Dalam usaha mengukuhkan sistem kesihatan jangka panjang, Brunei juga aktif terlibat dalam rundingan antarabangsa bagi Perjanjian Pandemik baharu di bawah WHO serta semakan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR).

    Perjanjian ini bertujuan mempertingkatkan kesiapsiagaan, pengesanan awal, perkongsian maklumat dan tindakan segera semasa berlakunya wabak atau kecemasan kesihatan antarabangsa.

    Selain menyentuh mengenai peranan Brunei dalam kerjasama kesihatan serantau Asean, Yang Berhormat Menteri turut mengongsikan di peringkat serantau, Negara Brunei Darussalam turut aktif memajukan kerjasama di bawah kerangka ASEAN.

    ASEAN telah membangunkan pelbagai mekanisme sekuriti kesihatan bagi meningkatkan daya tahan sistem kesihatan serantau.

    Di samping mengongsikan inisiatif yang sedang giat dilaksanakan yang antaranya, ASEAN Emerging Operations Centre (EOC) Network yang membolehkan perkongsian maklumat secara real-time semasa kecemasan kesihatan dan lainnya.

    Katanya lagi, “Brunei sebagai pengerusi ASEAN Health Cluster 3 bagi 2025-2027 mengambil peranan utama memperkukuh sistem kesihatan serantau dan memperluaskan akses penjagaan berkualiti”.

    Negara juga mengetuai projek pembelian vaksin dan ubat antiviral bagi penyakit cacar monyet melalui dana ASEAN dan hasilnya telah disalurkan kepada negara anggota yang memerlukan.

    Di permesyuaratan itu, Yang Berhormat Mentiri turut menyentuh mengenai cabaran kewangan dan berkata, “Kementerian Kesihatan telah mengemaskini Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan yang berkuatkuasa 1 Julai 2025”.

    Beliau seterusnya menjelaskan, di bawah dasar baharu itu kos rawatan telah dikenakan kepada beberapa golongan yang kini menanggung sendiri kos tersebut.

    Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kumpulan pesakit tertentu sebagai manifestasi nilai ihsan dan keprihatinan sosial, manakala bagi golongan terkesan pula, penilaian akan dijalankan oleh pasukan khas untuk penilaian.

    Yang Berhormat Menteri turut menegaskan pengemaskinian ini bukan diskriminasi atau punitif, tetapi usaha penting demi memastikan sistem kesihatan yang mampan dan berdaya tahan.

    Kementerian juga menyarankan penduduk agar menerokai insurans perlindungan kesihatan sebagai persediaan menghadapi kos rawatan yang mungkin meningkat.

    “Perkhidmatan kesihatan berkualiti memerlukan perancangan strategik, komitmen padu dan kerjasama semua pihak dalam ekosistem kesihatan, dan kementerian juga komited memperkukuh sistem kesihatan dengan pendekatan berasaskan bukti, pelaburan dalam infrastruktur dan teknologi digital,” tegasnya.

    Selain itu, kementerian akan terus memantau pelaksanaan dasar dan memastikan tiada sesiapa tercicir daripada mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan dan prinsip kesejahteraan bersama akan terus menjadi teras setiap langkah diambil.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Md Isham mengongsikan tiga perkara utama kementerian ke arah kesihatan yang berkualiti.- GAMBAR INFOFOTO
    Mesin CT Scan baharu dan mesin MRI di hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha Hospital.- GAMBAR FAIL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda