Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, memaklumkan waktu operasi bagi klinik-klinik pergigian di bawah Jabatan Perkhidmatan Pergigian sepanjang bulan Ramadan 2020.
Waktu operasi klinik-klinik pergigian bagi Daerah Brunei dan Muara iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam) dari pukul 8 pagi hingga 2 petang iaitu di klinik pergigian, Pusat Pergigian Negara, Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah Gadong, Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah Sungai Asam, Pusat Kesihatan Jubli Perak Sengkurong dan Pusat Kesihatan
Muara.
Manakala, bagi Daerah Tutong iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam) dari pukul 8 pagi hingga 2 petang di klinik pergigian, Klinik Kesihatan Lamunin, bagi Daerah Belait iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam) dari pukul 8 pagi hingga 2 petang di klinik pergigian, Hospital Suri Seri Begawan dan Pusat Kesihatan Sungai Liang serta bagi Daerah Temburong iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu (kecuali hari-hari kelepasan awam) dari pukul 8 pagi hingga 2 petang di klinik pergigian, Hospital Pengiran Isteri Hajah Mariam.
Jabatan Perkhidmatan Pergigian juga memaklumkan orang ramai mengenai penutupan dan pemindahan sementara klinik-klinik pergigian ke beberapa lokasi seperti yang dimaklumkan sebelum ini melalui pengumuman media Kementerian Kesihatan pada 16 Mac lalu.
Kenyataan menjelaskan bahawa bagi klinik pergigian di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong bertukar ke Pusat Kesihatan Lamunin, Seria Poliklinik berpindah ke Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, bagi Klinik Kesihatan Labi ke Pusat Klinik Sungai Liang, bagi Pusat Kesihatan Berakas ke Pusat Pergigian Negara dan bagi Pusat Kesihatan Pengkalan Batu ke Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Sungai Asam.
Pada masa yang sama, Jabatan Perkhidmatan Pergigian sekali lagi memaklumkan bahawa pada masa ini, hanya rawatan-rawatan pergigian kecemasan yang tidak melibatkan aerosol sahaja yang dikendalikan dan ini tertakluk kepada saringan pemeriksaan di kaunter-kaunter yang disediakan di lokasi-lokasi berkenaan.
Dalam kesempatan ini juga, Jabatan Perkhidmatan Pergigian mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan mulut seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida dan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang manis, serta mengelakkan pengambilan makanan yang melekit dan keras terutama bagi mereka yang memakai pendakap gigi.