OSLO, 25 OGOS – Perkhidmatan komersial pertama dunia yang menawarkan penyimpanan karbon (CO2) di luar pantai Norway telah melaksanakan suntikan awal CO2 ke dasar Laut Utara, kata konsortium Northern Lights yang mengendalikan tapak tersebut pada Isnin.
Northern Lights, yang diketuai oleh gergasi minyak Equinor, Shell dan TotalEnergies, melibatkan pengangkutan dan penempatan CO2 yang ditangkap dari cerobong asap di seluruh Eropah.
Tujuannya adalah untuk menghalang pelepasan gas itu ke atmosfera, sekali gus membantu menghentikan perubahan iklim.
“Kami kini telah menyuntik dan menyimpan CO2 pertama dengan selamat di dalam takungan,” kata Pengarah Urusan Northern Lights, Tim Heijn, dalam satu kenyataan.
“Kapal, kemudahan dan telaga kami kini sedang beroperasi.”
Secara terperinci, selepas CO2 ditangkap, ia dicairkan dan dihantar melalui kapal ke terminal Oygarden berhampiran Bergen di pantai barat Norway.
Gas itu kemudian dipindahkan ke dalam tangki besar sebelum disuntik melalui saluran paip sepanjang 110 kilometer ke dasar laut, pada kedalaman sekitar 2.6 kilometer, untuk disimpan secara kekal.
Teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) telah disenaraikan sebagai alat iklim oleh Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), khususnya untuk mengurangkan jejak karbon industri seperti simen dan keluli yang sukar dinyahkarbon.
Suntikan pertama CO2 ke dalam takungan geologi Northern Lights datang daripada loji simen Heidelberg Materials dari Jerman yang terletak di Brevik, tenggara Norway.
Namun, teknologi CCS adalah proses yang kompleks dan menelan kos yang tinggi. – AFP


