TOKYO, 9 JUN – Laman web perkongsian video popular Jepun, Niconico, telah menggantung perkhidmatannya akibat serangan siber besar-besaran, kata pengendalinya.
“Niconico kini mengalami serangan siber berskala besar, dan kami menggantung perkhidmatan kami untuk meminimumkan impaknya,” kata pengendali Dwango dalam satu kenyataan lewat semalam.
“Kami sedang menyiasat dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan segera, namun kami tidak dapat memulihkan perkhidmatan sehingga kami memastikan keselamatannya setelah menghapuskan kesan serangan siber ini sepenuhnya,” katanya, sambil menambah mereka tidak menjangka dapat memulihkan perkhidmatan tersebut pada hujung minggu ini.
Niconico adalah salah satu perkhidmatan perkongsian video terbesar di Jepun di mana pengguna berkongsi pelbagai video daripada muzik hingga sukan dan juga hobi, sementara penstriman langsung program termasuk sidang akhbar oleh pegawai kerajaan juga tersedia.
Selain Niconico, laman web rasmi syarikat induknya, Kadokawa dan laman e-dagang ‘ebten’ turut terjejas oleh kemungkinan ‘akses tidak dibenarkan dari luar,’ kata penerbit itu.
“Kami memohon maaf atas kebimbangan dan kesulitan yang dihadapi selepas beberapa laman web kumpulan Kadokawa tidak dapat diakses sebelum subuh kelmarin,” kata penerbit yang berpusat di Tokyo, Kadokawa.
Kadokawa kini sedang melancarkan siasatan mengenai kesan serangan itu, termasuk ‘sama ada terdapat kebocoran maklumat atau tidak,’ dan juga sedang bekerjasama dengan pakar luar dan pihak polis, katanya. – AFP
