Perkhidmatan pembelian dalam talian meningkat

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Perkhidmatan membeli-belah dan penghantaran ke rumah telah meningkat pesat ketika negara berdepan gelombang kedua pandemik COVID-19.

Beberapa pusat perniagaan telah menubuhkan perkhidmatan pembelian dalam talian dan perkhidmatan penghantaran ke rumah bertujuan mengurangkan kontak fizikal dan sebagai satu kaedah meneruskan kelangsungan hidup semasa situasi sekarang.

Salah satu pusat perniagaan yang melancarkan inisiatif dalam talian tersebut ialah Supa Save Gadong. Projek yang bermula pada September 2020 itu menerima respons positif daripada para pelanggan yang membolehkan mereka menempah barangan tanpa meninggalkan rumah mereka.

Dalam tinjauan mengenai perkhidmatan pembelian dalam talian tersebut, pengurus Brunei Runner yang mengendalikan perkhidmatan pembelian dalam talian dan penghantaran ke rumah, Dayang Mufidah binti Haji Kassim berkata bahawa kebanyakan pelanggannya terdiri daripada mereka yang mempunyai kod BruHealth warna kuning atau merah, atau sedang menjalani kuarantin yang mengelak mereka daripada memasuki premis membeli-belah.

Menurutnya, selepas menerima tempahan barang runcit di pasar raya yang dipilih pelanggan, slot masa berasingan untuk penghantaran ke rumah akan diperuntukkan untuk setiap pelanggan.

Produk yang sudah ditempah di Supa Save diperiksa sebelum dihantar ke rumah pelanggan.

Selain pasar raya, kedai buku popular juga membolehkan pelanggan membeli-belah di rumah dan barang yang ditempah seterusnya dihantar ke rumah mereka.

Salah satu daripadanya ialah Best Eastern, yang memulakan inisiatif membeli-belah dalam talian pada 15 Julai tahun ini.

Eksekutif Pemasaran Best Eastern, Claire berkata, “Sebelum wabak, Best Eastern telah pun memulakan inisiatif membeli-belah dalam talian dan mewujudkan kesedaran menerusi pesanan WhatsApp kepada pelanggan setia, sebelum menyiarkan iklan.”

Sebuah lagi kedai buku popular, Samima, juga menggunakan perkhidmatan ‘courier’ untuk menjalankan dua penghantaran sehari untuk tempahan dan sehari untuk penghantaran segera, yang kini telah meningkat kepada empat hingga lima tempahan sehari.

“Setakat ini, kami belum menghadapi sebarang cabaran kerana kami mempunyai sokongan yang cukup untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan, Haji Hidayatullah.

“Bagaimanapun, kami cuba memberitahu pelanggan supaya bersabar kerana penghantaran mungkin berdepan penundaan disebabkan situasi sekarang. Apa-apa pun, menjadi keutamaan kami untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, perkhidmatan dalam talian dan penghantaran pasar raya Hua Ho juga telah memulakan perkhidmatan dalam talian sebelum wabak dan permintaan telah meningkat pesat daripada lebih 10 tempahan sehari kepada lebih 60 tempahan sehari dengan barangan paling dicari terdiri daripada produk pencuci seperti detergen, pencuci lantai, sabun cuci tangan dan sebagainya.

“Cabaran yang kami hadapi sekarang adalah kekurangan stok disebabkan sekatan di negara lain dan kebanyakan produk tidak dapat memasuki Brunei. Pelanggan juga kurang membeli-belah di pasar raya disebabkan prosedur operasi standard,” kata Pengurus, Choo.