Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan penghantaran bahan bakar popular di selatan Lubnan

    BEIRUT – Omar al-Ghazal memandu trak pikapnya setiap malam ke stesen minyak yang terletak di antara Nabatiyeh dan Marjeyoun di selatan Lubnan untuk mengisi puluhan gelen plastik dengan minyak petrol.

    Dia kemudiannya menjualnya kepada pelanggan di rumah mereka kerana kekurangan bahan bakar yang kronik semakin meningkat di negara itu.

    Lelaki berusia 34 tahun itu mengatakan banyak pemilik kereta lebih suka membayar lebih daripada harga asal 75,000 pound Lubnan setiap 20 liter petrol daripada menunggu berjam-jam untuk mendapatkan sejumlah kecil minyak petrol.

    “Saya menambah keuntungan kecil untuk diri saya dan pemilik stesen minyak, ini memberi saya peluang untuk menjana sejumlah wang untuk keluarga saya di tengah-tengah keadaan ekonomi yang teruk sekarang,” kata al-Ghazal yang telah beberapa tahun menganggur.

    Statistik rasmi menganggarkan import derivatif minyak tahunan Lubnan termasuk gas, petrol, diesel, gas penerbangan, minyak bahan bakar dan asfalt mencapai sekitar AS$6.2 bilion untuk 8.5 juta tan pada tahun 2018.

    Botol-botol berisi petrol yang dikumpulkan oleh seorang pekerja penghantaran bahan bakar di daerah Rashaya al-Wadi, di sebelah barat wilayah Bekaa. – Xinhua
    Seorang budak memasukkan petrol ke tangki sebuah kereta yang merupakan pelanggan bahan bakar itu. – Xinhua

    Walau bagaimanapun, Lubnan baru-baru ini mengalami kekurangan bahan bakar teruk yang disebabkan ketiadaan mata wang AS yang diperlukan oleh bank pusat untuk membekalkan pengimport dengan wang tunai diperlukan untuk mengimport petrol dan komoditi asas lain, seperti ubat-ubatan dan gandum.

    Kekurangan bahan bakar juga disebabkan oleh aktiviti penyeludupan haram yang berlebihan ke Syria, meraih keuntungan besar bagi penyeludup kerana perbezaan harga yang besar antara kedua-dua negara.

    Ali Bitar, yang kehilangan pekerjaannya di sebuah kilang menjahit setelah penularan COVID-19, mengatakan perkhidmatan penghantaran bahan bakar telah memberinya peluang untuk menjana sejumlah pendapatan untuk memberi makan kepada keluarganya yang terdiri daripada enam anggota.

    “Ramai orang sekarang lebih suka membayar wang tambahan untuk bahan bakar daripada bertengkar mendapatkan petrol di stesen minyak,” kata Bitar.

    Sejak bermulanya krisis bahan bakar, Lubnan telah menyaksikan banyak pergaduhan di stesen minyak.

    Pada bulan Mei, anak lelaki pemilik sebuah stesen minyak di daerah utara Akkar ditembak mati semasa perselisihan dengan seorang pemandu.

    Juga, beberapa video telah tular di media sosial dalam beberapa minggu terakhir yang menunjukkan pergaduhan dan tembakan di stesen minyak.

    Jalal Abboud, seorang penghantar yang bekerja di kota Rashaya di timur Lubnan, memberitahu Xinhua bahawa dia menerima puluhan panggilan dari orang-orang yang mahukan petrol untuk tangki kereta mereka yang kosong, dan nombor telefon bimbitnya diedarkan dalam kalangan penduduk di tempatnya.

    Mehdi Dakhlalah, pemilik stesen minyak di bandar Joub Jannine di Bekaa, mengatakan dia bersetuju dengan beberapa orang tukang penghantar di daerahnya untuk menjual petrol kepada penduduk di rumah mereka dengan harga yang lebih tinggi, yang akan memberi keuntungan lebih besar kepadanya dan mengurangkan sedikit kesesakan dan kemungkinan pergaduhan di stesennya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda