BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai bahawa Perkhidmatan Pergigian bagi Pesakit Kanak-kanak semasa cuti Penggal Akhir Persekolahan 2017 akan dibuka pada 1 hingga 31 Disember (kecuali Jumaat dan Ahad serta hari kelepasan awam) di Tingkat 1, Blok A, Pusat Pergigian Negara Lapangan Terbang Lama, Berakas.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya mengingatkan bahawa Pusat Pergigian Negara telah memulakan sistem rawatan pergigian secara perjanjian pada November 2017 untuk memberikan rawatan yang selamat dengan peruntukan masa yang mencukupi dalam membuat rawatan kepada semua pesakit.
Sehubungan itu, rawatan pergigian akan diberi kepada kanak-kanak yang telah membuat perjanjian terlebih dahulu dan rawatan pergigian bagi kanak-kanak yang tiada perjanjian akan diberikan secara aturan mengikut giliran.
Walau bagaimanapun, mana-mana pesakit kanak-kanak yang memerlukan rawatan pergigian segera seperti sakit gigi atau bengkak akan diberikan keutamaan.