Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Perkhidmatan Prostetik dan Ortotik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah pun berpindah ke Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan akan memulakan perkhidmatan termasuk perjumpaan pesakit-pesakit luar pada 14 Ogos ini.
Pemindahan perkhidmatan berkenaan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Pemindahannya dihasratkan dapat memberikan kemudahan akses lebih luas kepada rakyat dan individu-individu memerlukannya dengan cekap menurut piawaian tertinggi seperti yang ada di rantau ini.
Perkhidmatan prostetik iaitu kaki dan tangan palsu serta ortotik iaitu pendakap dan belat, membolehkan individu yang mempunyai kecacatan anggota untuk meningkatkan kualiti kehidupan ke tahap yang lebih tinggi serta menjadikan mereka lebih produktif, berkebolehan dan sihat.
Unit Prostetik dan Ortotik menyediakan peralatan perubatan dan sokongan bagi badan seperti anggota badan palsu dan belat.
Dengan adanya prostetik dan ortotik, para pengguna akan lebih berpeluang untuk ikut serta dalam alam pekerjaan, pembelajaran, aktiviti-aktiviti awam dan dalam kehidupan sosial masing-masing.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan berkenaan, boleh menghubungi talian 2613333 atau melalui e-mel enquiries@pjscbrunei.com.


