NEW YORK, 22 JUN – Tesla dijangka memulakan perkhidmatan roboteksi hari ini di Austin, satu langkah awal yang dipercayai para penyokong Elon Musk bakal mencetuskan gelombang pertumbuhan baharu syarikat itu.
Pelancaran tersebut yang hadir ketika Musk kembali memberi tumpuan kepada usaha perniagaannya selepas penglibatan kontroversial dalam pentadbiran Donald Trump akan menggunakan kenderaan utiliti sukan Model Y, bukannya Cybercab yang sering dipromosikan Tesla dan masih dalam pembangunan.
Pelancaran yang telah lama dinantikan itu menyusuli keretakan besar dalam hubungan antara Musk dan Trump awal bulan ini, yang menyaksikan pertikaman lidah antara kedua-dua individu tersebut.
Sejak itu, Musk secara terbuka menyatakan kekesalannya terhadap beberapa kenyataannya sebelum ini, sementara operasi Tesla di Texas bersiap sedia untuk pelancaran di Austin sebahagian daripada usaha besar syarikat dalam teknologi autonomi dan kecerdasan buatan yang diyakini penyokong kuat Tesla mampu menjana keuntungan besar.
Golongan itu termasuk penganalisis Wedbush, Daniel Ives, yang menyatakan bahawa teknologi autonomi berpotensi menjadi pemangkin kepada peningkatan nilai pasaran sebanyak AS$1 trilion atau lebih.
“Terdapat ramai pihak yang skeptikal terhadap visi roboteksi Tesla, dengan ramai pihak pesimis menyangka hari ini tidak akan pernah tiba,” kata Ives, yang menjangkakan pentadbiran Trump akan meleraikan halangan untuk Tesla dan mengubah haluan daripada ‘drama bersiri’ baru-baru ini.
“Era keemasan Tesla dalam teknologi autonomi secara rasmi bermula pada Ahad ini di Austin,” kata Ives dalam satu nota pada Jumaat. – AFP
