Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkhidmatan teksi udara dilancar di Korea S

    SEOUL, 11 JUN – Syarikat permulaan penerbangan dari Korea Selatan telah melancarkan perkhidmatan teksi helikopter, menawarkan laluan dari daerah Gangnam di Seoul ke lapangan terbang yang dikatakan mengurangkan masa perjalanan daripada hampir dua jam kepada 20 minit.

    Pada kos AS$320 sehala, perkhidmatan ‘Vonaer’ akan beroperasi sekali setiap jam, kata syarikat tersebut kepada AFP, untuk tempoh ujian selama enam bulan.

    “Perniagaan pengangkutan udara kecil belum dilancarkan di Korea Selatan dan kerana ini, perkhidmatan udara bandar tidak diterima oleh orang awam selain kekurangan infrastruktur berkaitan,” kata Shin Min, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat permulaan Moviation.

    Syarikat ini juga akan menawarkan perkhidmatan sewa khas ke seluruh negara, dengan perjalanan sehala dari Seoul ke Busan di selatan pada harga AS$13,000.

    Shin berkata helikopter syarikat itu selamat dan juruterbang sangat berpengalaman, menambah bahawa operasi akan dihentikan semasa cuaca buruk, yang boleh mencecah kira-kira 30 peratus tahun ini.

    Syarikat Korea Selatan lain juga sedang mengintai pasaran teksi penerbangan, atau mobiliti udara bandar (UAM). Penyedia telekom terbesar Korea Selatan, SK Telecom, telah mempamerkan teksi udara tahun lalu yang dibangunkan bersama firma permulaan California, Joby Aviation, yang diharapkan dapat membantu mengatasi kesesakan di bandar-bandar Korea Selatan dengan kos yang rendah. – AFP

    Shin Min (dua dari kanan), semasa bercakap mengenai perkhidmatan teksi udaranya di hadapan sebuah helikopter di tapak pendaratan di tepi sungai Seoul. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda