OVIEDO, 5 MEI – Puluhan ribu penumpang mengalami gangguan perjalanan kelmarin selepas kejadian kecurian kabel menyebabkan rangkaian tren laju Sepanyol lumpuh, lapor agensi Anadolu (AA) yang memetik media tempatan.
Kabel dicuri di empat lokasi sepanjang laluan tren yang menghubungkan Madrid dengan Seville, menyebabkan ramai penumpang terkandas ketika dalam perjalanan pulang ke selatan dari Madrid selepas cuti hujung minggu panjang dan sambutan Hari Ibu di Sepanyol.
“Keuntungan ekonomi daripada operasi seperti ini amat kecil berbanding kerosakan yang ditimbulkan. Saya tidak akan menyebutnya sebagai kecurian kerana saya lebih cenderung menyifatkannya sebagai sabotaj,” kata Menteri Pengangkutan Oscar Puente kepada penyiar Cadena Ser hari ini.
“Empat kecurian kabel bernilai rendah di empat lokasi berbeza. Ia adalah tindakan yang cukup terancang. Pelakunya jelas tahu apa yang dilakukan kerana kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera,” katanya.
Ketua pengendali tren laju Sepanyol, Renfe, memaklumkan di platform X, selain kecurian kabel, sebuah lagi tren mengalami ‘gangguan’ yang menyebabkan kabel kuasa yang membekalkan elektrik kepada tren, mengalami masalah. – Bernama
