Gambar Infofoto
BEIJING, 26 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat bagi menghadiri Majlis Perasmian Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China di Beijing.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di pusat persidangan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping dan ketua-ketua negara dan kerajaan yang lainnya, dijunjung beredar ke Dewan Plenari bagi majlis perasmian.
Ia dimulakan dengan ucaptama daripada TYT Xi Jinping diikuti ucapan daripada beberapa orang ketua negara dan kerajaan serta diakhiri dengan ucapan daripada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
TYT Xi Jinping dalam ucaptama dipetik agensi berita Xinhua dan Bernama, menekankan pembinaan infrastruktur berkualiti tinggi, mapan, berdaya tahan terhadap risiko, terangkum dan mudah diakses di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan.








Sehubungan itu, TYT Xi Jinping menggesa negara-negara yang mengambil bahagian supaya meneruskan pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi mencapai pembangunan bermutu tinggi.
TYT Xi Jinping juga berkata projek-projek Jalur dan Laluan harus mempertahankan prinsip perkongsian bermanfaat dan menyumbang bersama.
Pada sebelah petangnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan TYT Xi Jinping yang berlangsung di East Hall, Great Hall of the People.
Berangkat sama mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan TYT Presiden Republik Rakyat China berbincang mengenai hubungan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.