Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkongsian rak bantu selamatkan industri kedai buku Jepun

    TOKYO – “Saya memegang sebuah buku bergambar mengenai keju,” kata Tomoyo Ozumi dengan gembira, seorang pelanggan di sebuah kedai buku yang semakin popular di Jepun, di mana sesiapa sahaja yang ingin menjual buku mereka boleh menyewa rak.

    Konsep tersebut menghidupkan semula kegembiraan mencari buku fizikal dalam masyarakat ketika banyak kedai buku terpaksa ditutup dan memberikan pembaca lebih banyak pilihan berbanding yang dijual dalam talian, kata salah seorang pelanggan.

    “Di sini, awda akan menemui buku-buku yang membuat awda tertanya-tanya siapa sebenarnya yang akan membelinya,” kata Shogo Imamura, 40, yang membuka kedai seumpamanya di kedai buku di daerah Kanda Jimbocho, Tokyo, pada April lalu.

    “Kedai buku biasa menjual buku yang popular berdasarkan statistik jualan sambil mengetepikan buku yang tidak laku,” kata Imamura, yang juga menulis novel mengenai samurai berperang dalam era feudal Jepun.

    “Kami mengabaikan prinsip tersebut. Atau dalam kata lain, kapitalisme,” katanya.
    “Saya mahu membina semula kedai buku,” tambahnya.

    Kedai buku perkongsian rak, Passage, yang dikendalikan oleh Yui di daerah Kanda Jimbocho, Tokyo – salah satu ‘bandar buku’ terbesar di dunia. – AFP
    Yui ketika bekerja di kedai bukunya di daerah Kanda Jimbocho, Tokyo, salah satu ‘bandar buku’ terbesar di dunia. – AFP
    Kelihatan beberapa rak buku tersusun rapi di kedai buku Honmaru Jimbocho di Tokyo. – AFP
    Pemilik kedai buku dan novelis, Imamura (kiri), dan Sato, bergambar di kedai buku Honmaru Jimbocho di Tokyo. – AFP
    Gambar AFP
    Rak buku di kedai buku Honmaru Jimbocho di Tokyo. – AFP
    Buku-buku tulisan bekas Gabenor Tokyo, Naoki Inose, dipamerkan di sebahagian rak di kedai buku perkongsian rak, Passage, di daerah Kanda Jimbocho, Tokyo. – AFP

    Kedainya, yang berukuran hanya 53 meter persegi, menempatkan 364 rak, menjual buku — ada yang baharu, ada yang terpakai — mengenai pelbagai topik daripada strategi perniagaan, komik manga hingga seni mempertahankan diri.

    Ratusan penyewa rak yang berbeza, yang membayar antara 4,850 hingga 9,350 yen sebulan, terdiri daripada individu, syarikat IT, firma pembinaan hingga penerbit kecil.

    “Setiap rak ini seperti versi sebenar akaun media sosial, di mana awda boleh mengekspresikan diri seperti di Instagram atau Facebook,” kata pengarah kreatif kedai tersebut, Kashiwa Sato, 59.

    KAFE DAN GIM

    Buat masa ini, kedainya yang dinamakan Honmaru — bermaksud ‘teras istana Jepun’ — hanya boleh ditemui di Tokyo, tetapi Imamura berharap untuk mengembangkannya ke kawasan lain yang terjejas teruk akibat penutupan kedai buku.

    Seperempat daripada kawasan perbandaran di Jepun tidak mempunyai kedai buku fizikal, dengan lebih 600 kedai ditutup dalam tempoh 18 bulan hingga Mac, menurut Yayasan Industri Penerbitan Jepun untuk Budaya.

    Pada 2022, Imamura melawat puluhan kedai buku yang berjaya bertahan daripada persaingan sengit dengan gergasi e-dagang seperti Amazon, dengan ada yang menggabungkannya dengan kafe atau gim.

    “Tetapi itu seperti lari daripada tujuan kedai buku sebenar. Kerana jika gim lebih menguntungkan, 90 peratus kedai mungkin menjadi gim, dengan hanya 10 peratus untuk menjual buku,” kata Imamura.

    TARIKAN PELANGGAN

    Rokurou Yui, 42, berkata tiga kedai berkongsi rak miliknya di kawasan Tokyo yang sama dipenuhi dengan ‘cinta yang mendalam’ terhadap buku-buku kegemaran pemilik rak.

    “Ia seolah-olah awda mendengar suara-suara cadangan,” kata Yui kepada AFP.

    Pemilik kedai buku biasa meletakkan buku di rak mereka yang perlu dijual untuk terus bertahan, tanpa mengira cita rasa peribadi mereka, katanya.

    “Tetapi di sini, tidak ada satu buku pun yang perlu dijual, hanya buku yang disyorkan dengan semangat dan cinta yang kuat,” katanya.

    Yui dan bapanya, Shigeru Kashima, 74, seorang profesor sastera Perancis, membuka kedai berkongsi rak pertama mereka yang dipanggil Passage pada 2022.

    Ia berkembang dengan dua lagi dan yang keempat dibuka di dalam sebuah sekolah bahasa Perancis di Tokyo pada Oktober.

    Passage mempunyai 362 rak dan para penjual membantu menarik pelanggan dengan usaha pemasaran mereka sendiri, sering kali dalam talian.

    Ini berbeza dengan kedai buku konvensional yang sering bergantung pada usaha jualan pemilik sahaja, katanya.

    Pada hujung minggu, kedainya kadang-kadang ‘kelihatan seperti kelab malam yang sesak dengan pelanggan muda berusia belasan, 20an, 30an’ dengan muzik latar yang rancak dimainkan, katanya.

    “Pelanggan dan pemilik rak datang ke kedai buku bukan sahaja untuk menjual dan membeli buku, tetapi untuk menikmati berbual tentang buku,” tambahnya.

    Kementerian Perindustrian Jepun pada Mac melancarkan sebuah pasukan untuk mengkaji bagaimana menyokong kedai buku.

    “Kedai buku adalah hab penyebaran budaya, dan merupakan aset yang amat penting bagi masyarakat dalam mengekalkan kepelbagaian idea serta mempengaruhi kekuatan negara,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda