Tuesday, November 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkosa dua anak saudara, lelaki dipenjara 40 tahun, 17 kali sebat

    Oleh Nour Maghfirah – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seorang lelaki berusia 43 tahun dijatuhi hukuman penjara 40 tahun enam bulan dan 17 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pelbagai kesalahan seksual terhadap dua orang anak saudaranya.

    Kesalahan-kesalahan itu, termasuk rogol, mencabul kehormatan, gila mengintai dan merakam video lucah membabitkan kanak-kanak, telah dilakukan lebih 10 tahun.

    Semua pihak dalam kes itu tidak dapat disebut nama-namanya atas perintah yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

    Hakim Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menyifatkan jenayah itu sebagai ‘kejam dan biadap’ menonjolkan eksploitasi defendan terhadap peranan kekeluargaannya dan mengutuk tindakannya sebagai pengkhianatan amanah yang mendalam.

    Penderaan itu bermula pada 2011 apabila anak saudara yang lebih tua, yang dirujuk sebagai Miss A, pada ketika itu berusia tujuh tahun. Adik perempuannya, Miss B, turut menjadi mangsa yang sama bermula pada usia yang sama. Defendan, seorang duda dengan dua anak lelaki, telah diamanahkan menjaga anak saudaranya itu yang kerap tinggal di rumahnya.

    Gambar Envato

    Dalam satu kejadian pada awal tahun 2022, semasa isterinya yang terlantar sakit berada di ruang tamu, defendan mendera Miss A secara seksual dan merakam perbuatan itu. Dalam kejadian lain, sejurus selepas kematian isterinya, defendan merogol Miss A ketika dua anak lelakinya berada di dalam bilik yang sama.

    Penderaan itu terbongkar pada Julai 2022, apabila mangsa mengadu kepada ibu mereka yang kemudiannya membuat laporan polis, membawa kepada siasatan terperinci oleh Unit Siasatan Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Siasatan menemui bukti pada telefon bimbit defendan, termasuk gambar dan rakaman video perbuatan aniaya itu.

    Pada mulanya, defendan mengaku tidak bersalah. Pada pertengahan perbicaraan, selepas enam orang saksi pendakwaan, termasuk kedua-dua mangsa, memberikan keterangan, dia menukar pengakuannya kepada bersalah bagi kesemua 15 pertuduhan. Mahkamah menyatakan pengakuan defendan dibuat terlalu lewat untuk mengeluarkan mangsa daripada beban emosi semasa memberi keterangan dan hanya memberikannya pengura-ngan hukuman minimum.

    Defendan memohon kelonggaran, mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya dan memetik bahawa dia kini seorang bapa tunggal dengan dua anak lelaki yang bergantung kepadanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi dan Abdul Hanan Haji Erwan, dalam penghujahan mereka, menekankan faktor yang memburukkan dalam kes itu.

    Mereka menekankan bahawa tingkah laku defendan yang berulang melakukan penderaan yang menjangkau lebih 10 tahun, dan melanggar amanah.

    Mahkamah bersetuju dengan hujahan pendakwa raya, juga mengakui kecederaan psikologi yang mendalam yang dikenakan ke atas mangsa, yang terus bergelut dengan trauma penderaan itu.

    Laporan yang dikemukakan kepada mahkamah memperincikan tekanan emosi teruk yang dialami oleh kedua-dua mangsa.

    Miss A, kini berusia 20 tahun, didapati mengalami kebimbangan, kemurungan dan konflik emosi. Miss B, kini 17, menunjukkan tanda-tanda harga diri yang rendah dan kebimbangan yang meningkat, dengan penilaian klinikal menunjukkan bahawa kedua-dua mangsa perlu mendapat sokongan psikologi yang berterusan.

    Dalam menjatuhkan hukuman 40 tahun, enam bulan penjara dan 17 kali sebatan, mahkamah mengakui kecederaan psikologi yang mendalam terhadap mangsa, yang terus bergelut dengan trauma penderaan itu.

    Semasa menyampaikan hukuman itu, Hakim Muhammed Faisal berkata tentang perasaan sedih, kesal dan ketakutan mangsa yang bercampur-baur, seperti yang didedahkan di mahkamah.

    Beliau berkata kesedihan mereka disebabkan oleh hubungan rapat mereka dengan anak lelaki defendan, kekesalan mereka timbul kerana dikhianati oleh seseorang yang mereka anggap sebagai bapa, dan ketakutan mereka terikat pada hari defendan akan dibebaskan dari penjara.

    Hakim Muhammed Faisal menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan mestilah bukan sahaja untuk menghukum dan menghalang defendan, tetapi juga untuk memastikan bahawa Miss A dan Miss B boleh hidup lama, aman, mengetahui mereka selamat daripada bahaya selanjutnya.

    Hukuman ini sepatutnya memberi mereka peluang untuk menuntut semula masa depan mereka untuk hidup sepenuhnya, menjalani hari tua dengan aman, dan untuk mencari ketenangan atas kehilangan masa kanak-kanak dan masa muda mereka.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara, orang ramai diingatkan bahawa kesalahan seksual, khususnya yang melibatkan penyalahgunaan amanah, membawa hukuman berat, termasuk penjara sehingga 30 tahun dan 12 sebatan bagi satu kesalahan rogol di bawah seksyen. 376 Kanun Keseksaan, Bab 22.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda