Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh benteng dengan perpaduan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menerusi institusi majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK), institusi pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung diseru untuk menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 untuk memelihara dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan penduduk negara ini.

    Seruan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penyampaian sijil persaraan bagi pegawai serta kakitangan KHEDN di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Berakas, hari ini.

    Usaha itu dapat dicapai, tambah Yang Berhormat Pehin, dengan mengamalkan sikap sabar sambil konsisten memegang kuat ‘tali Allah’ atau ‘agamaNya’ dan mengelakkan perpecahan sesama kita.

    “Perpaduan adalah benteng utama dalam menghadapi pelbagai ujian. Perpaduan yang kukuh dapat menolak segala bentuk fitnah atau provokasi yang datang dari mana saja,” jelasnya.

    Ke arah itu, Yang Berhormat Pehin menyarankan penghulu dan ketua kampung serta seluruh rakyat dan penduduk kampung harus berusaha bersungguh-sungguh bersama agensi-agensi kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memelihara perpaduan hidup rakyat dan penduduk di negara ini dengan mengekalkan suasana keamanan dan ketenteraman.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan sijil-sijil persaraan kepada salah seorang kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang diraikan.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan isteri bergambar ramai bersama pegawai dan kakitangan.

    Beliau juga menyatakan bahawa sepanjang bulan Ramadan lalu, dapat disaksikan pelbagai aktiviti amal jariah serta inisiatif dan projek kebajikan dilaksanakan oleh pihak kerajaan, agensi-agensi, persatuan, perkumpulan dan individu bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

    “Sikap keprihatinan inilah merupakan nilai teras dalam kehidupan bermasyarakat yang mesti dipupuk dan dipelihara khasnya kalangan masyarakat di peringkat kampung dan mukim,” tekannya.

    Yang Berhormat Pehin juga berkata bahawa semua harus memupuk dan menggalakkan sikap tolong-menolong di semua lapisan masyarakat secara berterusan kerana penglibatan masyarakat adalah penting bagi memastikan kesinambungan inisiatif untuk memastikan tiada ahli masyarakat yang tercicir daripada menikmati tahap kehidupan yang berpatutan.

    Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan itu dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin dan isteri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta kira-kira 400 orang warga KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil-sijil persaraan kepada seramai 110 pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah bersara pada 2018 hingga Mei 2019.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda