Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Lebih 20 pegawai dan kaki-tangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menghadiri Taklimat Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang berlangsung di Balai Sarmayuda DBP, Berakas pada 18 Oktober lalu.
Taklimat yang diadakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), dimulakan dengan menyaksikan tayangan video berkaitan kejadian bencana yang memaparkan situasi sebenar dan kesan bencana terhadap masyarakat.
Sesi diteruskan dengan pembentangan taklimat CBDRM yang disampaikan oleh Pegawai Pengurusan Bencana di Bahagian Perancangan dan Analisis, NDMC, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Siti Joriahati binti Johari, yang me-nerangkan dengan lebih lanjut lagi mengenai Program CBDRM yang telah dilaksanakan oleh NDMC sejak 2010.
Bagi menggalakkan penglibatan para peserta taklimat, kuiz interaktif dan sesi soal jawab turut diadakan yang membolehkan para peserta mengajukan soalan berkaitan Program CBDRM dan pengurusan bencana di negara ini.
Sesi taklimat diikuti dengan Aktiviti Praktikal Penyediaan Beg Kecemasan, yang buat pertama kalinya diperkenalkan pada 2025 semasa taklimat itu bersama pegawai dan kakitangan DBP.




Aktiviti itu diilhamkan daripada amalan terbaik yang diperoleh hasil penyertaan pegawai NDMC dalam kursus luar negara berkaitan pengurusan bencana dan kemudiannya diaplikasikan di negara ini semasa taklimat kali ini.
Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan, di mana setiap kumpulan berbincang bagi mengenal pasti barang-barang yang paling penting dan utama untuk disediakan dalam beg kecemasan.
Setelah itu, setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka yang kemudiannya diulas oleh penyampai taklimat untuk meningkatkan kefahaman para peserta mengenai persediaan sebelum berlakunya bencana.
Penyampaian sijil penghargaan dan cenderahati juga disempurnakan oleh Pemangku Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit, kepada Penyampai Taklimat CBDRM sebagai penghargaan atas perkongsian ilmu dan kerjasama bersama pihak DBP.
Taklimat itu diharapkan dapat memperkukuh budaya ke-siapsiagaan dalam kalangan warga perkhidmatan awan terutama DBP serta mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat antara NDMC dan agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap bencana.
Taklimat CBDRM mula diperkenalkan dan dilaksanakan oleh NDMC pada 2024 sebagai usaha memperkasa kesedaran dan kesiapsiagaan khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam dan swasta di negara ini terhadap pe-ngurusan bencana terutama dalam pengurangan risiko bencana.
Ahli Penyelaras Kesiapsiagaan Bencana (DPC) yang diiktiraf oleh NDMC turut hadir bagi menjayakan penganjuran taklimat kali ini.

