BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Keahlian rasmi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebagai ahli ke-183 Kesatuan Antara Parlimen (IPU) yang diumumkan semasa Mesyuarat Perhimpunan IPU ke-151 di Geneva, Switzerland baru-baru ini menandakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh diplomasi antara-parlimen Negara Brunei Darussalam.
Langkah tersebut memperluas peranan MMN dalam arena antarabangsa dan membolehkan penyertaan secara langsung dalam perbincangan antara parlimen mengenai isu-isu global yang berkaitan dengan keamanan, pembangunan dan kemanusiaan.
IPU merupakan pertubuhan parlimen antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1889 dengan objektif memupuk keamanan, memajukan dialog, dan memperkukuh peranan institusi legislatif di seluruh dunia. Sebagai rakan strategik kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), IPU berperanan sebagai landasan bagi menyampaikan pandangan parlimen terhadap dasar-dasar antarabangsa serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
IPU berfungsi sebagai pengantara antara rakyat dan sistem antarabangsa, yang memberi ruang kepada ahli parlimen untuk membincangkan cabaran global seperti perubahan iklim, hak asasi manusia, konflik kemanusiaan, serta keadilan sosial dan ekonomi. Melalui pelbagai jawatankuasa dan forumnya, IPU juga mempromosikan penyertaan belia dan wanita dalam politik serta memperkukuh keupayaan parlimen dalam tadbir urus yang telus dan berkesan.
Penyertaan MMN dalam IPU adalah selaras dengan dasar luar Negara Brunei Darussalam yang memberikan penekanan kepada kerjasama antarabangsa dengan prinsip saling menghormati, keamanan dan kemakmuran bersama. Keahlian ini memberi peluang kepada MMN untuk menyumbang kepada dialog antara parlimen dan memperkukuh hubungan dengan parlimen negara-negara lain berkenaan isu-isu serantau dan global.

Dari segi institusi, penyertaan ini memperkukuh kapasiti MMN dalam bidang diplomasi parlimen melalui pendedahan kepada amalan terbaik antarabangsa serta pendekatan perundangan yang menyokong pembangunan mampan dan tadbir urus yang baik. Ia juga menyediakan ruang bagi MMN untuk berkongsi pandangan dan nilai-nilai nasional berasaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), khususnya dalam mempromosikan persefahaman dan dialog sebagai asas kepada keamanan sejagat.
Sebagai ahli baharu, MMN akan dapat melibatkan diri dalam jawatankuasa-jawatankuasa tetap IPU yang merangkumi pelbagai bidang seperti pembangunan mampan, hak asasi manusia, serta hal ehwal PBB.
Penyertaan aktif dalam landasan ini akan membolehkan MMN menyampaikan pandangan berdasarkan pengalaman kebangsaan, khususnya dalam isu-isu yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat, pembangunan sosioekonomi dan keutuhan institusi.
Selain itu, MMN akan dapat memperkukuh kerjasama dalam hubungan antara-parlimen melalui penyertaan dalam aktiviti IPU dan membolehkan penglibatan lebih meluas ahli-ahli MMN dalam dialog antara-parlimen. Usaha ini termasuk peluang untuk memperkukuh latihan dan pembangunan kapasiti dalam bidang hubungan antarabangsa dan komunikasi strategik, bagi memastikan sumbangan yang lebih relevan dan berimpak positif.
Penyertaan MMN dalam IPU menandakan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam untuk memainkan peranan dalam usaha global dalam keamanan, kerjasama dan pembangunan.
Ia juga memperkukuh peranan MMN sebagai institusi legislatif yang aktif dalam mempromosikan dialog, persefahaman dan tadbir urus yang baik di peringkat antarabangsa. Seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, keahlian ini diharap dapat memperkukuh peranan parlimen dalam menyumbang kepada kemajuan negara serta memperluas kerjasama yang memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat sejagat.

