Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh ekosistem perancangan perbandaran mampan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Semua pihak memainkan peranan strategik dalam memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

    “Kita perlu melihat peranan perancangan bandar bukan hanya memfokuskan kepada pengurusan penggunaan tanah atau pembangunan fizikal, tetapi sebagai wadah kolaboratif yang menuntut penglibatan semua pihak.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

    Mengulas mengenai tema sambutan, Collaborating For Sustainable Growth, Yang Berhormat Dato menyatakan tema itu bertepatan dengan kemajuan semasa, memberikan penekanan kepada kepentingan kolaborasi dalam membentuk perbandaran dan penempatan penduduk yang mampan, inklusif dan berdaya huni.

    “Ini memerlukan satu bentuk kolaborasi rentas agensi yang kukuh dan sepadu bukan hanya di antara agensi kerajaan malahan dengan pihak swasta dan awam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda diberi penerangan mengenai pameran di Dewan Betabur dan Ruang Legar Tingkat 1, Kementerian Pembangunan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Melalui kolaborasi yang berkesan, ia dihasratkan dapat menghasilkan pendekatan perancangan perbandaran yang lebih menyeluruh, sepadu, inklusif dan inovatif, selaras dengan matlamat Wawasan Negara bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan serta kualiti kehidupan yang bermutu tinggi,” tambah beliau.

    Pada majlis berkenaan, sebanyak lapan Garis Panduan dan Piawaian Perancangan serta Sistem Aduan Perancangan Orang Ramai dalam talian telah dilancarkan, iaitu lima garis panduan baharu dan tiga garis panduan pindaan bagi memperkukuh ekosistem perancangan perbandaran mampan negara.

    Selain itu, pameran bertajuk Collaborating for Sustainable Growth juga diadakan selama lima hari di Dewan Betabur dan Ruang Legar Tingkat 1, Kementerian Pembangunan bermula 10 hingga 15 November.

    Ia termasuk siri taklimat dan dialog mengenai Pelan Strategik Jabatan Perancang Bandar dan Desa 2025-2030, Garis Panduan dan Piawaian Perancangan, Urban Connectivity Profiling Findings dan Pelan Perancangan Guna Tanah khusus untuk para profesional dalam industri pembinaan; sudut pameran yang menunjukkan beberapa perancangan jabatan serta sudut pertanyaan Ask Us Corner bagi profesional, para penuntut dan orang ramai.

    Di samping itu, satu Klinik Kemajuan akan dibukakan kepada orang ramai pada 13 dan 15 November di mana klinik itu berfungsi sebagai platform bagi orang ramai mengemukakan sebarang pertanyaan berkaitan proses permohonan yang melibatkan aspek kemajuan.

    Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2025, penyalaan lampu pelbagai warna di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien diadakan bermula 8 hingga 16 November, sebagai simbolik meraikan acara berkenaan serta melambangkan kepentingan pembangunan secara bersepadu.

    Warna lampu hijau, merah, kuning, biru dan ungu adalah berdasarkan kod warna bagi zon perancangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda