Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mampu mengukuhkan lagi kerjasama serta hubungan persahabatan melalui pembangunan kerjasama yang mampu bertahan serta memajukan kepentingan bersama.
Dalam hubungan itu, terdapat empat bidang kerjasama yang meluas yang mampu diperkukuhkan lagi oleh kedua-dua buah negara di mana salah satu daripadanya adalah untuk menjadikan kedua-dua buah negara lebih berdaya tahan.
Sekuriti makanan merupakan salah satu daripada bidang berkenaan di mana Brunei dengan sumber aslinya telah menjadi rakan import makanan bagi Singapura yang penting seperti produk makanan laut dan baru-baru ini, sebagai sumber telur baharu bagi negara berkenaan.
Oleh itu, terdapat skop yang lebih meluas untuk mengembangkan lagi bidang berkenaan meliputi daging diproses, daging ayam serta bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian.
Kerjasama seumpama itu akan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara, jelas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong dalam Sesi Ceramah Khas bertajuk, A Partnership for All Seasons, yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.


Hadir pada sesi ceramah khas itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir timbalan-timbalan menteri, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari kementerian-kementerian, institut-institut pengajian tinggi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
TYT Lawrence Wong menyatakan di samping sekuriti makanan, bidang-bidang daya tahan yang boleh diterokai bersama adalah kerjasama untuk mengukuhkan kesiapsiagaan dalam menghadapi penularan penyakit dan ancaman pandemik masa hadapan.
Bidang kerjasama kedua yang mampu diterokai bersama, jelas TYT Lawrence Wong adalah menyokong peralihan hijau kedua-dua buah negara yang berusaha untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Untuk mencapai matlamat itu adalah tidak mudah dan kedua-dua buah negara boleh berkerjasama dan bertukar-tukar amalan terbaik dalam pelbagai bidang ke arah peralihan hijau berkenaan seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau, penyimpanan dan penangkapan karbon serta pasaran karbon.
Mengulas mengenai bidang kerjasama ketiga, kedua-dua negara harus bekerjasama dalam peringkat global dan serantau untuk menguatkan suara masing-masing di pentas antarabangsa.
Bidang keempat yang turut disentuh oleh TYT Lawrence Wong adalah bagi Brunei dan Singapura untuk terus menggandakan interaksi yang lebih erat dan kerap di antara satu sama lain serta mengukuhkan pertukaran hubungan warga kedua-dua buah negara kerana ia merupakan asas kepada hubungan istimewa Brunei dan Singapura.
Manakala itu, semasa sesi soal jawab, TYT Lawrence Wong menjelaskan bahawa antara pencapaian utama dalam hubungan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura adalah Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang dan kerjasama dalam bidang pertahanan.

