Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Penasihat Agama Islam kepada Ketua Turus Pertahanan dan Ketua Perkhidmatan, United Kingdom (UK), Imam Asim Hafiz telah mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam pada 5 hingga 7 Jun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, semasa berada di negara ini, Imam Asim dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe amat berbesar hati untuk bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Perjumpaan itu merupakan asas bagi hubungan progresif dan amat berhasil berasaskan kepada penghargaan bersama kepelbagaian agama dan komuniti.
Imam Asim dipetik menyatakan perasaan amat berbesar hati dan gembira berpeluang untuk kembali ke Negara Brunei Darussalam setelah sekian lama disebabkan oleh COVID-19.
Lawatan itu, jelasnya, merupakan peluang yang amat baik untuk menubuhkan semula hubungan dengan rakan-rakan lama dan membina hubungan baharu, mengukuhkan kerjasama dan dialog kebudayaan serta keagamaan di antara Negara Brunei Darussalam dan UK.
“Kedua-dua buah negara kita menikmati hubungan bersejarah yang sentiasa membuatkan saya merasa amat dialu-alukan dengan warga Brunei,” ujarnya.
Semasa lawatannya lagi, Imam Asim dan Penasihat Pertahanan UK ke Negara Brunei Darussalam, Kapten Jonathan Caple telah bertemu dengan Pengarah Jabatanarah Keagamaan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim di mana mereka berbincang mengenai banyak bidang yang Negara Brunei Darussalam dan UK mempunyai persamaan.
Ia juga merupakan peluang untuk belajar daripada amalan terbaik dan pengalaman dari kedua-dua buah angkatan bersenjata.
Sementara itu, bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Imam Asim dan Kapten Jonathan Caple juga telah melawat ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah.
Manakala itu, Imam Asim turut berjumpa dengan pemimpin-pemimpin agama British Garison dan mengadakan lawatan ke kuil di Seria di mana beliau berjumpa Guru Agama Hindu British Garison, Punditji.
Imam Asim amat menghargai dan berbesar hati atas layanan mesra yang diterima semasa lawatannya dan berharap untuk mengekalkan hubungan yang kukuh dengan pelbagai rakan kongsi di Negara Brunei Darussalam.