Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Pelaksanaan pengurusan jenazah merupakan salah satu fardu kifayah ataupun tanggungjawab sosial bagi umat Islam, oleh itu, mengetahui dan mempelajarinya adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap individu Muslim.
Sehubungan itu, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Alumni dengan kerjasama Unit Kemahiran dan Latihan, Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Alumni UNISSA, baru-baru ini, telah mengambil inisiatif mengadakan Program Fardu Kifayah Pengurusan Jenazah bagi alumni UNISSA.
Antara objektif program yang diadakan di Surau As-Syafi’i UNISSA itu adalah untuk menambah dan memperkukuhkan ilmu pengetahuan dalam pengurusan jenazah agar peserta sentiasa bersiap sedia untuk tampil membantu menyempurnakan jenazah.
Ia juga diharap akan melahirkan insan yang boleh berbakti kepada masyarakat berdasarkan ilmu yang dipelajari dan bertanggungjawab dalam memikul tugas fardu kifayah itu.
Bengkel pengurusan jenazah lelaki telah dibimbing oleh alumni UNISSA sendiri dan merupakan fasilitator yang bertauliah serta berpengalaman, iaitu Imam Tingkat II, Masjid Kampung Pulaie, Haji Nuralif bin Haji Taib.
Manakala itu, bengkel pengurusan jenazah perempuan telah dibimbing oleh Penggapai dari Unit Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Hajah Siti Animi binti Haji Salleh dan Dayang Norlila binti Mohammad.
Seramai 37 orang peserta daripada kalangan Alumni UNISSA menyertai program itu, yang mana 12 orang adalah peserta lelaki dan 25 orang lagi peserta perempuan.
Program itu turut dihadiri oleh Yang Di-Pertua Persatuan Alumni UNISSA Sesi 2021/2023, Awang Muhammad Dzulhilmi bin Haji Moharefandi yang se-terusnya menyampaikan sijil kepada fasilitator dan peserta.



