Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Seramai 28 orang pemimpin pendidikan telah menyertai Fasa Kedua Bengkel Navigating The 21st Century Leadership: Shaping Tomorrow’s Schools Today yang berlangsung selama empat hari di Dewan London, The Airport Mall, dari 19 hingga 22 Mei.
Bengkel yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan melalui Unit Kepimpinan Sekolah, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Jabatan Pengurusan Pendidik, merupakan inisiatif serantau menyokong pelaksanaan Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2021-2025 yang memberi keutamaan kepada pengukuhan kapasiti kepimpinan guru serta kompetensi dalam kemahiran abad ke-21, amalan inklusif dan pendidikan inovatif.
Program itu merangkumi tiga fasa iaitu fasa pertama diadakan secara dalam talian pada 29 hingga 30 April, fasa kedua berlangsung secara bersemuka di Negara Brunei Darussalam bermula 19 hingga 22 Mei serta fasa terakhir dijadualkan diadakan secara dalam talian pada Jun nanti.
Bengkel itu menghimpunkan pemimpin pendidikan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan mata pelajaran di sekolah dari tujuh buah negara anggota ASEAN, iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Malaysia, Republik Singapura, Thailand dan Vietnam.
Dalam memajukan kecemerlangan akademik, para peserta memainkan peranan penting dalam membudayakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan bersiap-sedia untuk masa depan dalam sistem pendidikan masing-masing.
Sepanjang bengkel empat hari berkenaan, para peserta mengikuti pelbagai modul kepimpinan berteraskan masa hadapan seperti The Art of Future Readiness, Educator’s Role in Building Future-Ready Citizens: Collaborative Inquiry and Citizenship, InnovatED, Building a Future Ready Mindset: Leading Ethically with AI in a Human Centered World serta Building a Data-Driven Culture: Empowering Teacher Leaders.
Antara kemuncak utama fasa kedua merupakan Seminar Leadership Circle di mana peserta membentangkan amalan terbaik serantau di bawah tema, Effective Instructional and Emerging Innovative Practices Towards Future Ready Learners.
Program itu bukan sahaja berfungsi sebagai platform pembangunan profesional tetapi juga mengukuhkan kerjasama serantau serta jaringan berterusan dalam kalangan pemimpin sekolah selain mengukuhkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam membentuk ekosistem pendidikan yang berdaya tahan, inovatif dan inklusif di seluruh Asia Tenggara.