BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Sebagai usaha untuk memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan para pelajar terhadap falsafah Melayu Islam Beraja sebagai teras Negara Brunei Darussalam, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Melayu Islam Beraja (MIB) 2025 yang berlangsung di Auditorium Maktab Duli, hari ini.
Majlis dihadiri oleh Mantan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Maktab Duli bagi 2011 hingga 2015, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Pengetua, Dr Mohd Zamri bin Haji Ismail, para penolong pengetua, pensyarah serta para pelajar Maktab Duli.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran para pensyarah dan pelajar jemputan daripada beberapa buah pusat tingkatan enam (PTE) dari seluruh negara.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi Maktab, bacaan doa oleh Penolong Guru Kanan CCA, Haji Muhammad Shafiee bin Haji Japar serta ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Dayang Norliham binti Haji Tuah.
Antara pengisian menarik dalam majlis berkenaan termasuk tayangan video mengenai aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran MIB di Maktab Duli sepanjang 2024, persembahan Tarian Tradisional Brunei, Kuiz Persahabatan MIB antara pelajar-pelajar Pra-U2 dari seluruh negara serta sketsa bertajuk, Malang Pak Saloi.
Majlis juga menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar cemerlang bagi kategori Blok-blok MIB 2024, Kuiz Persahabatan MIB dan Projek Berkelompok Pelajar Terbaik.
Penganjuran majlis berkenaan adalah selaras dengan usaha berterusan pihak maktab untuk meningkatkan kesedaran terhadap identiti negara, memperteguh nilai-nilai agama dan budaya serta memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar.
Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk mendidik para pelajar secara holistik supaya menjadi individu yang berakhlak, berwawasan serta menghargai warisan negara bangsa.
