Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Dalam era yang penuh ketidakpastian, nilai seorang pemimpin tidak hanya diukur melalui kecekapan penyelesaian masalah tetapi juga melalui keupayaan mencipta nilai tambah melalui pendekatan baharu dan penyelesaian yang lebih inovatif.
Sehubungan itu, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) merupakan antara contoh peluang baharu untuk diterokai secara lebih bijaksana bukan semata-mata untuk menggantikan proses sedia ada tetapi untuk menjana nilai tambah yang sebenar dan nyata kepada Perkhidmatan Awam.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Urus tadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Eksekutif Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-36 yang berlangsung di Dewan Ittisal, Institut Perkhidmatan Awam (IPA), hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) JPM, Dr Norfarizal bin Othman; Pengarah IPA, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh, pegawai-pegawai serta peserta EDPMMO-36.
Awang Ajman juga menekankan peranan penting pegawai peringkat pengurusan pertengahan dalam menyelaraskan visi, misi dan strategi organisasi di samping menganalisis, menyelesaikan masalah dan inovasi alternatif serta halangan dan cabaran dalam menyediakan perkhidmatan kepada orang awam.


Mengulas mengenai Program EDPMMO, beliau menerangkan program itu direka bersesuaian dengan keperluan untuk mengukuhkan kemahiran kepimpinan, meningkatkan kebolehan dalam pengurusan, pembentukan dasar dan meningkatkan pemikiran yang kritikal dan inovatif bagi pegawai-pegawai pengurusan pertengahan yang berpotensi tinggi.
“Program ini juga bertujuan melengkapkan para peserta dalam menghadapi cabaran-cabaran dan mengambil peluang dalam era digital yang memerlukan para pemimpin yang lebih tangkas dalam merancang, mengambil tindakan serta membuat keputusan yang berkesan.”
Di samping itu, Awang Ajman turut menekankan pentingnya integriti di mana ia merupakan asas kepada kepimpinan yang dipercayai dan penyampaian perkhidmatan yang berwibawa.
Integriti tekannya lagi, bukan sahaja penting sebagai prinsip peribadi, tetapi juga sebagai tonggak dalam membina budaya kerja yang bertanggungjawab dan beretika.
Seramai 32 orang peserta menyertai program yang bermatlamat untuk membangunkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan warga perkhidmatan awam di peringkat pengurusan pertengahan serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengetuai pasukan mereka dalam menangani cabaran masa hadapan yang tidak menentu.
Program itu juga bertujuan memperkukuh keupayaan pemimpin masa depan supaya lebih tangkas dalam merancang, mengambil tindakan serta membuat keputusan yang berkesan bagi memenuhi keperluan orang ramai yang sentiasa berubah terutamanya pada zaman yang penuh gangguan daripada perubahan pesat global dan digital.

