Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh kerjasama bidang tenaga dan perdagangan

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Infofoto


    PARIS, 15 OKT –
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin memulakan Keberangkatan Rasmi ke Republik Perancis dengan mengadakan lawatan ke M.B.D.A. (Matra, BAE Dynamics and Alena) Missile Systems; Majlis Perjumpaan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies; dan Majlis Santap Malam serta Majlis Perjumpaan Tête-à-tête dengan Tuan Yang Terutama Presiden Republik Perancis.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke lawatan dan Majlis-Majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia mulanya berkenan berangkat ke Syarikat M.B.D.A di Le Plessis-Robinson, Paris, di mana keberangkatan tiba Baginda Sultan dialu-alukan oleh Mr. Eric Beranger, Ketua Pegawai Eksekutif M.B.D.A. dan para pegawai kanan syarikat berkenaan.

    KDYMM seterusnya berkenan menyaksikan tayangan demonstrasi vídeo mengenai Air Defense Systems dan mendengar sembah penerangan mengenai produk serta perkhidmatan M.B.D.A. yang disembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif M.B.D.A.

    Baginda Sultan berkenan menyaksikan demonstrasi simulator Kit Mistral Virtual Reality.

    Baginda Sultan berkenan menyaksikan demonstrasi simulator Kit Mistral Virtual Reality dan kemudiannya berangkat menuju ke Kawasan Pelancaran bagi menyaksikan pameran statik.

    M.B.D.A. adalah satu-satunya syarikat di Eropah yang mereka bentuk dan menghasilkan sistem peluru berpandu dan juga peluru berpandu untuk memenuhi keseluruhan rangkaian keperluan semasa dan masa hadapan bagi ketiga-tiga cabang angkatan tentera (iaitu udara, laut, dan darat), dan satu-satunya syarikat pertahanan berintegrasi yang menyediakan peluru berpandu dan sistem peluru berpandu untuk setiap cabang angkatan tentera.

    Pada sebelah petang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menerima Kunjungan Hormat daripada Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanné.

    Semasa Kunjungan Hormat tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies membincangkan mengenai isu-isu yang mempunyai kepentingan bersama dalam bidang tenaga dan perdagangan.

    Kunjungan Hormat tersebut telah berlangsung di Hotel Plaza Athénée, Paris.

    Pada sebelah malam, Baginda berangkat ke Élysée Palace bagi menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron; dan mengadakan Majlis Perjumpaan Tête-à-tête bersama Tuan Yang Terutama. 

    Majlis-Majlis tersebut telah berlangsung di Élysée Palace, Paris. 

    Keberangkatan tiba KDYMM di Élysée Palace dijunjung oleh Colonel Guillaume Chantereau, Military Commander of the Presidency of the Republic.

    Baginda seterusnya dijunjung berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan sebelum dialu-alukan oleh Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Élysée Palace bagi menghadiri Majlis Santap Malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Emmanuel Macron.

    Semasa Majlis Santap Malam dan Majlis Perjumpaan Tête-à-tête tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis, termasuk bidang tenaga, pertahanan, keselamatan, perubahan iklim, ekonomi dan perdagangan, serta usaha-usaha untuk meningkatkan lagi ASEAN-France Development Partnership.

    Semasa Majlis Santap Malam dan Majlis Perjumpaan Tête-à-tête tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda