Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkukuh kerjasama sektor pengangkutan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah menerima kunjungan rasmi daripada Menteri Pengangkutan Sarawak, Malaysia, Tuan Yang Terutama Datuk Sri Lee Kim Shin yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MTIC, di sini, menyatakan bahawa lawatan rasmi TYT Datuk Sri Lee Kim Shin dimulakan dengan kunjungan muhibah kepada Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Semasa sesi kunjungan muhibah berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan usaha bagi memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pengangkutan darat, maritim dan udara termasuk aspek keselamatan, pembangunan infrastruktur serta peluang kolaborasi di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak, Malaysia.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar.

    Manakala, turut mengiringi TYT Datuk Sri Lee Kim Shin ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Penerbangan dan Jalan), Datuk Dr Jerip anak Susil; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Selamat Jati Yanjah dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

    TYT Datuk Sri Lee Kim Shin mengetuai rombongan Kementerian Pengangkutan Sarawak. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai semasa menerima kunjungan rasmi tersebut. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Rombongan MTIC membincangkan usaha bagi memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pengangkutan darat. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Lawatan rasmi diteruskan dengan mesyuarat dua hala antara MTIC dan Kementerian Pengangkutan Sarawak, yang dipengerusikan bersama oleh Haji Mohammad Nazri dan TYT Datuk Sri Lee Kim Shin.

    Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) dan pengarah-pengarah jabatan serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (KHELN), Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Penerbangan Awam, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei serta delegasi Kementerian Pengangkutan Sarawak, Malaysia.

    Mesyuarat tersebut turut membincangkan beberapa perkara utama termasuk pertukaran maklumat mengenai dasar dan pencapaian projek sektor pengangkutan serta rentas sempadan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kedua-dua pihak, perbincangan kerjasama dua hala dalam meningkatkan pergerakan kenderaan, penumpang dan barangan merentas sempadan serta usaha memperkukuhkan ketersambungan dengan negara-negara serantau dan perkongsian maklumat mengenai agenda kelestarian sektor penerbangan di peringkat rantau.

    Pada sebelah petang, TYT Datuk Sri Lee Kim Shin turut mengadakan sesi perjumpaan bersama syarikat-syarikat berkaitan dengan logistik termasuk penerbangan dan perkapalan tempatan Negara Brunei Darussalam.

    Lawatan rasmi itu bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pengangkutan dan logistik khususnya bagi meningkatkan pergerakan penumpang dan barangan, memupuk pertumbuhan ekonomi bersama serta meneroka peluang kerjasama yang lebih erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak, Malaysia.

    Kunjungan tersebut juga menandakan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mempererat hubungan dua hala serta membuka lebih banyak peluang kerjasama yang mampu memberikan manfaat bersama kepada rakyat dan ekonomi kedua-dua pihak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda